malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Sikap yang buruk punca orang Melayu gagal bersaing dengan masyarakat Cina, terutama dalam bidang ekonomi di negara ini, kata perdana menteri.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad orang Melayu memiliki kemampuan dari segi daya kepintaran dan sepatutnya boleh mencabar bangsa lain - termasuk Cina - untuk berjaya.

Dalam temu bual eksklusif dengan Dr Mahathir pada Khamis lalu anggota parlimen Langkawi tersebut berkata orang Melayu sehingga kini masih gagal menonjol dalam bidang sepatutnya walaupun mendapat pelbagai keistimewaan daripada kerajaan.

"Saya memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur supaya kita boleh belajar kejayaan-kejayaan dari Jepun.

"Sebenarnya di Malaysia kita juga boleh melihat kepada bangsa Cina di sini, tentang bagaimana mereka boleh berjaya dengan berada di bawah negeri dan iklim sama (seperti orang Melayu).

"Saya sedih melihat semua ini... Beberapa tahun lalu apabila saya menjadi wakil rakyat, saya melawat satu kawasan sawah padi. Ada dua lot yang terletak bersebelahan tetapi hanya satu yang nampak subur.

"Jadi saya tanya kawan saya, apa yang berlaku. Dia kata, yang sihat itu Cina punya.

"Maknanya apabila kamu beri peluang sama, semuanya sama, tetapi jika diberi kepada Melayu ia tidak berjaya," katanya kepada Malaysiakini dan Sinar Harian.

Justeru kata Dr Mahathir keadaan itu berlaku kerana budaya dan sikap orang Melayu itu sendiri dan hal berkenaan yang patut dipersalahkan.

Katanya ada orang Melayu tidak berusaha cukup gigih untuk mencapai kejayaan walaupun ia boleh dilakukan.

Tetap ada yang berjaya

"Dari segi kecerdikan mereka sama saja (dengan orang Cina) tetapi budayanya tidak mahu mendorong diri bekerja kuat, melaksanakan integriti.

"Kalau kita tak menyalahgunakan kuasa dan wang kita akan berjaya," tambahnya lagi.

Orang Melayu, menurut Dr Mahathir, perlu mengakui kesilapan sendiri dan memperbaiki diri kalau mahu berjaya dalam bidang ekonomi.

Tanpa sikap begitu katanya orang Melayu akan rugi, malah beberapa projek bantuan kerajaan yang diperuntukkan kepada mereka juga gagal dijayakan serta berlaku pembaziran.

"Sebab mengapa kita gagal mencapai kejayaan ialah, apabila diberi peluang macam permit mengimport kenderaan, ia dibuat untuk menarik orang Melayu menyertai industri pemotoran tapi mereka tidak berniaga kereta sebaliknya menjual permit tersebut.

"Apabila kerajaan berikan lesen kepada mereka, mereka jual lesen itu (kepada pihak ketiga). Samalah juga dengan pemberian kontrak.

"Tapi ada segelintir kecil orang Melayu yang menggunakan kesempatan tersebut (dengan berniaga) dan mereka berjaya," katanya.

  • Wawancara ini dijalankan bersama oleh Haris Mohd, Lu Wei Hoong, Norman Goh, Zikri Kamarulzaman dan Sinar Harian

[Baca berita penuh]

Lihat Komen