malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Baik Umno mahu pun PAS, kedua-dua parti itu kini dipercayai semakin yakin bahawa formula yang dipersetujui bersama mutakhir ini akan membawa manfaat buat mereka.

Keputusan yang dicatat pada pilihan raya kecil Seri Setia semalam mungkin boleh dijadikan satu lagi dalil bahawa kedua-dua parti berkenaan membuat keputusan paling tepat untuk mendepani kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Namun bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi salah seorang bekas pemimpin paling kanan - dan lama - dalam Umno suatu ketika dulu hubungan intim PAS dan Umno tidak akan ke mana-mana.

Di mata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu Umno sudah menjadi sejarah.

"Umno sekarang bukan saja sudah kalah teruk, tapi hampir hancur.

"Mereka kini menjadi satu kelompok parti pembangkang yang jauh lebih kecil. Saya percaya mereka sudah hilang keyakinan," katanya pada sesi wawancara dengan Malaysiakini dan wakil Sinar Harian dikediamannya di Bukit Damansara pada 7 Sept.

Sejak sekian lama nama Muhyiddin boleh dianggap sebati dengan Umno. Beliau menceburi politik secara rasmi pada 1971 dan menjadi anggota Umno.

Tak yakin berjaya

Bersama parti itu Muhyiddin pernah menjadi menteri besar Johor sebelum khidmatnya sebagai anggota parlimen membawa beliau akhirnya menjadi timbalan presiden parti berkenaan pada akhir Mac 2009.

Kedudukannya itu juga membawa beliau menjadi timbalan perdana menteri. Ketika perjalanan politiknya - jika mengikut tradisi Umno sejak berdekad lalu - hanya selangkah lagi untuk menjadi perdana menteri, skandal 1MDB menjadikan Muhyiddin berseteru dengan Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno pada Feb 2016. Dengan perkembangan semasa ketika itu beliau menubuhkan BERSATU bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

BERSATU adalah parti komponen HARAPAN yang kini membentuk kerajaan di Putrajaya, selain tiga pemimpinnya dipilih menjadi menteri besar masing-masing di Kedah, Perak dan Johor.

Kata Muhyiddin Umno kini nampak sudah hilang keyakinan, apatah lagi parti yang masih meneruskan hayat BN ketika ini cuma MCA dan MIC, menyebabkan keadaan menjadi tidak menentu.

Tambahan pula, katanya, parti itu tidak pernah menjadi pembangkang.

Ahli bukan boleh terima

"Sebab itu, dalam keadaan tidak menentu mereka mungkin cuba berbicara dengan PAS (tapi) saya tak yakin Umno boleh bersama dengan PAS.

"Ini (kerjasama Umno dan PAS) bukan cerita baru. Cerita ini sudah jadi sejak zaman berzaman.

"Mereka nampak baik, lepas tu tak baik... lepas tu sebelum pilihan raya nak bekerjasama, lepas tu tak jadi, lepas tu macam-macam.

"Kami dalam HARAPAN dah ada banyak pengalaman tentang itu, justeru saya tak fikir (kerjasama Umno dan PAS) akan berhasil menjadi apa-apa (yang bermakna)," katanya.

Ditanya sama ada persefahaman Umno dengan PAS akan mengancam HARAPAN, Muhyiddin kekal yakin. Gabungan yang mantap antara kedua-dua parti tidak akan dicapai.

"Sebab dalam Umno ni - saya pun pernah di sana dulu - mereka tak pernah rasa PAS tu (parti) yang mereka boleh bersama-sama.

"Ideologi, pemahaman politik, cara politik pun jauh berbeza. Jadi atas dasar itu saya tak fikir (PAS dan Umno) akan jadi satu gabungan yang mantap," katanya.

Menurut Muhyiddin, ada anggota Umno sendiri tidak akan setuju jika parti itu bekerjasama dengan PAS.

Pada masa sama kata anggota parlimen Pagoh itu anggota PAS - yang selama ini diasuh bahawa Umno itu adalah musuh politik - juga tidak akan menerima kerjasama berkenaan walaupun di peringkat pimpinan ia sudah berlaku.

"Orang PAS saya percaya (tak boleh terima) sebab selama ini mereka melihat Umno sebagai parti yang katanya tak Islam, tak ikut syariat agama, yang buat macam-macam kemungkaran.

"Tapi apa pun ia politiklah, kemungkinan tu boleh berlaku, saya tak nafikan," katanya.

  • Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian
Lihat Komen