malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Harapan untuk melihat tertubuh sebuah badan bebas bagi memantau pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) usul menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

Diajukan persoalan itu kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan pencerahan awal mengenai nasib badan berkenaan.

"Saya berpendapat itu satu cadangan yang baik, sebab niatnya bukan untuk menghukum sesiapa," katanya pada temu bual bersama Malaysiakini dan Sinar Harian di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 7 Sept.

Kata Muhyiddin gagasan IPCMC itu dikemukakan supaya badan terbabit boleh memantau PDRM dalam hal-hal kepolisan, disiplin dan perkhidmatan.

Menurut beliau sebelum ini ada timbul salah faham serta tuduhan tertentu terhadap pasukan keselamatan terbabit.

"Kalau ada badan bebas (nanti), merekalah yang membuat keputusan (terhadap isu-isu PDRM).

"Kalau salah, salahlah dan kalau tak salah, tak salah," katanya lagi.

Idea menubuhkan IPCMC dicadangkan oleh sebuah suruhanjaya siasatan diraja yang dibentuk pada 2005 bagi menambah baik operasi dan pengurusan PDRM.

Langkah itu dicadangkan selepas PDRM menerima banyak aduan mengenai salah guna kuasa termasuk melibatkan kematian dalam tahanan, penderaan fizikal serta dianggap kurang telus.

Bagaimanapun apabila ia dikemukakan, idea tersebut mendapat bantahan pemimpin atasan PDRM, antara lain kerana cadangan dikemukakan suruhanjaya terbabit tidak menyediakan peruntukan bagi rayuan.

Menurut Muhyiddin penubuhan IPCMC adalah satu daripada janji yang terkandung dalam manifesto HARAPAN sebelum pilihan raya umum (PRU) berlangsung pada 9 Mei lalu.

Kata beliau, agensi penguat kuasa lain turut mempunyai badan pemantau bebas seperti yang dicadangkan.

Justeru katanya mengapa badan seumpama itu tidak boleh ditubuhkan untuk mengawasi pasukan polis.

"Tapi perkara ini kita akan kemukakan balik dan bentang semula serta akan mengadakan rundingan dengan pelbagai pemegang taruh berkaitan," katanya.

  • Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd dan Grace Aisyah
Lihat Komen