PRK SERI SETIA, BALAKONG | Malaysiakini akan membawakan keputusan terkini siaran langsung pilihan raya kecil berkembar malam ini.
Pada jam jam 5.30 petang tadi kesemua pusat pengundian pilihan raya kecil berkembar untuk Dewan Undangan Negeri Selangor telah ditutup secara rasmi.
Dua PRK yang berjalan serentak ini melibatkan 16 pusat pengundian dengan 128 saluran bagi PRK DUN Balakong manakala 18 pusat pengundian dengan 115 saluran untuk PRK DUN Seri Setia pula.
Proses penjumlahan undi PRK DUN Balakong akan dilakukan di Dewan Utama Demesne Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi, manakala bagi DUN Seri Setia pula adalah di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal 9 malam dan selewat-lewatnya pukul 10 malam ini.
Setakat pukul 4 petang, SPR berkata sebanyak 39 peratus daripada 62,219 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka di DUN Balakong manakala di DUN Seri Setia pula, sebanyak 44 peratus daripada 50, 692 pengundi ketika pengundian ditutup jam 5.30 petang.
Ikuti laporan siaran langsung keputusan PRK berkembar ini di sini.