Pengiklanan

    Sabah baru komited pelihara hutan simpan

    (Dikemaskini )

    Perubahan dalam pengurusan hutan simpan di negeri ini selari dengan polisi kerajaan negeri baharu, kata Ketua Konservator Hutan Sabah baharu Mashor Mohd Jaini.

    Beliau yang dilantik sejak sebulan lepas menggantikan Datuk Sam Mannan yang bersara wajib berkata jabatan itu melaksanakan konsep telus dalam apa juga program yang berkaitan pengurusan hutan simpan, termasuklah dari segi konservasi dan pemuliharaan.

    "Kita akan melaksana mandat dan polisi kerajaan negeri baharu yang baik kepada alam sekitar dan pengurusan hutan simpan," katanya ketika ditemui selepas merasmi dan menutup Kursus Pendidikan Alam Sekitar Guru Sekolah di Rainforest Discovery Center Sepilok dekat Sandakan, hari ini.

    Sebelum ini beliau adalah Ketua Bahagian Pengurusan Hutan Lestari Jabatan Perhutanan Sabah dan telah berkhidmat di jabatan itu sejak 1984.

    Beliau berkata legasi yang baik ditinggalkan di jabatan itu akan diteruskan dan penambaikan akan dilakukan di mana perlu.

    Mashor, 56, berkata jabatan tersebut mengamalkan dasar terbuka untuk menerima teguran dan cadangan daripada mana-mana pihak termasuk berkaitan pengurusan hutan simpan di negeri ini.

    Ditanya mengenai peranan jabatan itu menangani masalah hidupan liar susulan kematian 26 ekor gajah sejak Januari lepas, katanya tidak dinafikan jabatan berkenaan menghadapi cabaran besar dalam memulihara hutan simpan yang luasnya 53 peratus hutan di negeri ini.

    Beliau berkata pemuliharaan hidupan liar dalam kawasan hutan simpan menjadi keutamaan kepada jabatan itu bersama agensi berkaitan iaitu Jabatan Hidupan Liar serta pertubuhan bukan kerajaan.

    "Bukan mudah menguruskan konflik manusia dengan hidupan liar dalam kawasan hutan simpan yang luas. Pendekatan sedia ada akan diteruskan dan pada masa ditambah baik," katanya.

    Sebanyak 53 peratus atau 3.9 juta hektar tanah di negeri ini telah dirizabkan secara kekal sebagai hutan simpan, kawasan perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar melalui dasar pengurusan hutan lestari.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih