WAWANCARA | Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan pihak yang menyeru 'kebangkitan Melayu' seperti yang dijadikan tema dalam Himpunan Bangkit Melayu di Pekan Kampung Gajah, Perak, awal bulan ini.
Ahmad Faizal berkata, Melayu hari ini telah lama bangkit dan ia terbukti dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, 9 Mei lalu.
"Pada pandangan saya, memang betul Melayu perlu bangkit. Melayu perlu bangkit daripada kelayuan, perlu bangkit daripada mimpi-mimpi indah. Tetapi Melayu mana yang mana belum bangkit ini?" soalnya.
Kata Ahmad Faizal, jika ada sekali pun orang Melayu yang belum bangkit, ia hanyalah Melayu yang terus-menerus menyokong pimpinan yang melakukan kemungkaran seperti yang terdapat dalam Umno-BN.
"Saya fikir Melayu di Pasir Salak yang terus menyokong beliau (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) adalah Melayu yang menyokong kemungkaran, yang mempertahankan pemimpin yang mencuri dan merompak, Melayu begini memang perlu bangkit.
"Tapi, Melayu yang macam kawan-kawan saya di Ipoh, Chenderiang, Tambun saya fikir mereka ini sedar dan dah lama bangkit," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, semalam.
Ahmad Faizal berkata demikian mengulas Himpunan Bangkit Melayu di Pekan Kampung Gajah, Perak 1 September lalu yang dianjurkan Tajuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Salak.
Jadi pembangkang baik
Malaysiakini sebelum ini melaporkan ribuan yang terdiri dari kalangan orang Melayu dari seluruh negara hadir ke himpunan berkenaan.
Himpunan itu juga dilaporkan berlangsung dengan penuh slogan bertemakan 'kebangkitan Melayu' dengan sebahagian besar yang hadir memakai lilit kepala dan menjulang sepanduk bertulis 'Melayu bangkit'.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak menasihatkan Tajuddin agar "bertaubat".
"Kalau nak bangkit (sekadar) untuk cetuskan huru-hara dan menimbulkan kebencian sesama kaum serta nak merosakkan keharmonian di antara agama dalam Malaysia ini saya harap dalam usia saya yang muda ini pun saya rasa saya perlu bertaubat, inikan pula ayahanda (Tajuddin) saya ini.
"Janganlah buat perangai tak senonoh yang boleh merosakkan hubungan kaum. Kalau nak bercakap pun, fikir panjang-panjang, umur pun dah lanjut," katanya.
Malah, Ahmad Faizal yang lebih mesra dipanggil Peja menambah pemimpin Umno hari ini diminta tidak lagi meniupkan sentimen perkauman.
"Saya pun suka juga bercakap macam dia (Tajuddin), tetapi kalau nak bangkitkan Melayu ke arah yang baik, buat kerja kerana Allah dan jangan lagi nak cetuskan huru-hara (dengan dakwaan) kononnya kita ini menjadi boneka kepada kaum lain dan sebagainya.
"Saya nak nasihatkan semua orang, berhenti berpolitik, dah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan. Saya rasa kawan-kawan yang ada di sini semua jelas, kita dah muak dengan politik," katanya.
Mengakhiri wawancara itu, Peja turut menyeru kepimpinan parti pembangkang Umno agar turut sama berganding bahu dengannya dalam membangunkan negeri Perak.
"Cukuplah kawan-kawan saya dalam Umno ini, bantu saya dengan langkah pertama dengan menasihati saya dan kerajaan, ingatkan saya tentang kesilapan yang dulu kamu (BN) pernah buat, janganlah saya pula lakukan kesilapan itu.
"Itulah baru betul nak jadi pembangkang yang baik, bukan nak bergaduh tak sudah-sudah," tambahnya.
Wawancara ini turut disertai Anne Muhammad dan Aedi Asri Abdullah