malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Ada nampak perubahan ketara pada bekas timbalan perdana menteri itu ketika beliau muncul untuk sesi temu bual hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil dengan pakaian baju Melayu serba merah. Dapat difahami mengapa beliau begitu. Anggota parlimen Pagoh itu ialah presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - sebuah parti yang ditubuhkan oleh bekas orang kuat Umno.

Merah ialah warna rasmi parti BERSATU.

Muhyiddin kelihatan masih agak lemah. Pembedahan dan rawatan yang dilaluinya sebelum ini nampak memberi kesan pada tubuh beliau.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Muhyiddin tidak teragak-agak bercerita.

"Ini satu cabaran yang kita kena hadapi. Kita kena kuatkan diri," katanya dengan suara sesekali terganggu oleh batuk.

Untuk melawan kesan daripada rawatan dilaluinya, Muhyiddin berkata, beliau perlu bersemangat untuk pulih kembali, selain berazam untuk bekerja semula selepas terpaksa berehat agak lama.

"Ini cabaran yang kita kena hadapi... kena kuatkan diri.

"Cubalah makan lebih sikit (walaupun) selera tak ada (sebab) apabila masuk ubat tu semua, selera bertukar. Rasa pahit saja... minum air pahit, makan pahit, selera tak ada... jadi susut badan, tapi semangat kena kuatlah," katanya ketika diwawancara Malaysiakini dan Sinar Harian di rumah beliau di Bukit Damansara hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada pankreasnya pada pertengahan Julai lalu.

Pembedahan dan rawatan itu dijalankan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Ekoran itu beliau bercuti sementara bagi mendapatkan rawatan susulan. Sepanjang tempoh itu tugasan rasmi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) diambil alih oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada 7 Ogos lalu dan berehat sementara bersama keluarganya.

Semuanya takdir Ilahi

Sebelum itu apabila ditanya keadaan dirinya Muhyiddin secara bergurau berkata: "Dah dekat satu jam kamu temu bual saya, tak pengsan pun..."

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu beliau dalam keadaan baik walaupun masih perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya peringkat pertama rawatan itu sudah diselesaikan dan ada 11 kali lagi yang perlu dilakukan dalam tempoh enam bulan.

Kesan rawatan itu katanya keadaan fizikalnya agak berubah.

"Tengok ni, saya berjalan belum kukuh lagi, badan saya pun dah susut dekat 8kg ke 9kg.

"Kalau nak jalan, nak stabilkan badan, kena ambil masa sikit," katanya.

Menurut beliau lagi, selepas menjalani rawatan susulan berkenaan keadaan kesihatannya diharap akan bertambah baik walaupun menyedari proses itu memerlukan tempoh yang agak lama.

Ditanya mengenai apa yang menguatkan semangatnya untuk melawan penyakit itu, sekali lagi Muhyiddin berseloroh:

"Nak lawan sebab nak hiduplah..." katanya yang kemudian disambut ketawa.

Namun beliau segera menjelaskan, masalah kesihatan atau penyakit bukan suatu pilihan yang boleh ditentukan seseorang.

"Ini takdir Allah, dan itu pun ada hikmahnya apabila saya dapat mengesan lebih awal, iaitu semasa di peringkat satu.

"Cuma untuk pulih, tak boleh melalui pembedahan saja.

"Kalau ikut istilah (orang) biasa, apabila benda (ketumbuhan) itu dibuang, dah tak ada apa lagi, tapi dalam ilmu onkologi ia bukan begitu. Rawatan susulan kena dilakukan," katanya.


  • Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian
Lihat Komen