malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khutbah: Jangan cabar institusi raja, Agong di media sosial
Diterbitkan:  Sep 7, 2018 12:40 PM
Dikemaskini: 4:55 AM
ADS

KHUTBAH | Menyentuh tentang institusi raja dan kepentingan Yang di-Pertuan Agong, khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengingatkan agar media sosial tidak dijadikan tempat untuk mengganggu dan mencabar institusi raja.

"Terdapat banyak isu yang dilontarkan belum dipastikan kesahihannya apatah lagi yang tidak mempunyai mana-mana sandaran mahupun bukti.

"Hal ini bukan sahaja menyebabkan kemudaratan dan mengganggu kemaslahatan rakyat, malah pada masa yang sama memberi kegembiraan kepada golongan-golongan yang menolak sistem kerajaan raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama persekutuan," menurut mimbar.

Mimbar berpesan bahawa dalam Islam, kedudukan seseorang pemimpin lebih mulia dan tinggi kerana disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan umat Islam.

"Justeru itu, perlu diperingatkan kepada diri kita sebagai rakyat jelata betapa pentingnya kesetiaan terhadap raja dan negara," kata mimbar.

Mimbar juga menyeru agar umat Islam menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya.

"Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian, bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berasaskan kepada kekuatan kepimpinannya.

"Sayugia itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam, dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata," kata mimbar. 

Teks khutbah sama turut digunakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Lihat Komen