malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Seramai 42 daripada 57 individu yang sebelum ini didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi di Kajang hari ini.

Hakim Datuk Abd Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 23 dan 63 tahun selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan iaitu menganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama kes mereka mengikut Sosma yang bersidang di Mahkamah Tinggi di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di Kompleks Penjara Kajang, di Kajang.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, yang mengetuai pasukan pendakwaan, meminda pertuduhan tertuduh daripada Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah Sosma kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Seramai 14 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah manakala seorang tertuduh dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya.

ADS

Selepas pindaan itu, pertuduhan terhadap kesemua tertuduh tidak lagi di bawah Sosma dan pertuduhan pindaan turut memperuntukkan hukuman lebih ringan iaitu hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit bersalah.

Sebelum ini Seksyen 130V Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, mereka didakwa menjadi anggota “Geng 36'’ yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang di MV Empayer, Sdn. Bhd., No 1-B, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perdagangan Masria, Batu 9, Cheras, antara 2013 dan 2017.

ADS

Jika insaf, kebaikan untuk diri sendiri

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Abd Halim menasihati kesemua tertuduh supaya tidak lagi menyertai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

“Semasa rayuan, kebanyakan kamu memberitahu telah insaf dan tidak akan menyertai pertubuhan sebegitu. Jika keinsafan ini jujur, ia adalah kebaikan untuk diri kamu sendiri.

“Kebanyakan kamu juga adalah pesalah pertama, masa depan kamu cerah, banyak juga (tertuduh) yang warga emas, jangan menyertai kumpulan yang melanggar undang-undang lagi,” kata hakim itu.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap sejak tahun lalu.

Sejurus selepas hukuman itu dijatuhkan, anggota keluarga tertuduh yang mengikuti prosiding itu yang ditayangkan menerusi projektor di dalam sebuah dewan menepuk tangan dan berpelukan antara satu sama lain.

Prosiding yang bermula jam 10.10 pagi itu berakhir pada 5.30 petang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen