BERITA

Demi keharmonian bekas IGP cekup Kit Siang

6 Sep 2018, 12:48 pm

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Bekas IGP, Tan Sri Hanif Omar berkata beliau tegas dalam mempertahanan keharmonian negara sebagai pegawai kanan polis dan ini termasuklah langkah seperti memenjarakan pemimpin veteran DAP, menurut laporan Sinar Harian.

Hanif mengimbau pada ketika itu Parti Perikatan telah membentuk gabungan Barisan Nasional berikutan rusuhan kaum 1969.

"Masa itu Parti Perikatan bentuk Barisan Nasional sebab pada masa itu negara kita hampir hancur. DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

“Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

"Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” katanya, pada suatu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, petik Sinar Harian hari ini.

Hanif berkhidmat sebagai ketua polis negara dari 1974 ke 1994.

Lim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk kali kedua semasa Operasi Lalang pada 1987.

DAP, PAS tak bantu lawan komunis

Tidak jelas jika DAP atau Lim pernah membuat kenyataan mengancam keharmonian sebagaimana yang didakwa Hanif tetapi kerajaan BN seringkali menuduh Lim menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

Ini termasuklah dakwaan Lim bertanggungjawab terhadap rusuhan 1969 walaupun beliau tidak berada di Semenanjung Malaysia sewaktu rusuhan itu berlaku.

Namun, Lim tetap ditahan di bawah ISA selama 18 bulan.

Hanif dipetik Sinar Harian dalam ucapannya berkata DAP dan PAS tidak membantu kerajaan dalam melawan komunis.

“Masa lawan komunis dulu, DAP tak pernah membantu. Sepatah dasar anti PKM pun tidak pernah dilafazkan. PAS pun begitu, tak pernah membantu.

“Bila ada khutbah katakan polis dan tentera yang mati lawan komunis dikira mati syahid, PAS cakap bukan mati syahid tapi mati katak,” katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen