malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AG di sebalik tabir gugur kes Guan Eng, dakwa pemimpin Umno
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 9:48 PM
Dikemaskini: 1:57 PM
ADS

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa Peguam Negara (AG) Tommy Thomas menjadi pihak di sebalik tabir yang bertanggungjawab menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Tommy cuma 'menwastakan' tugas AG kepada para pegawainya.

Dalam hantaran di Facebook, Puad juga mendakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah Tommy sudahpun 'merancang' untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim itu.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang bertanggung jawab mengkaji semula pertuduhan terhadap Lim berkata semalam kes terhadap Lim tidak akan berjaya kerana bukti "keterangan telah dilemahkan secara substantif."

Puad berkata penjelasan Hanafiah menunjukkan berlaku campur tangan politik.

"Kalau semata mata mengatakan “tidak boleh menang” sebelum perbicaraan kes berprofil tinggi seperti ini diteruskan, nampak sangat muslihat politiknya.

"Bila Datuk Hanafiah mengatakan Tommy Thomas tidak terlibat dalam keputusan pengguguran kes, lagi rakyat tidak percaya. Seperti juga rakyat tidak percaya Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak terlibat. Apatah lagi apabila dia tetap melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Puad soal SPRM berlakon, dua kali lima

"Mahukah Tun M, melihat Guan Eng yang membantunya menjadi PM dibicarakan ketika menjadi Menteri? Sebab itu pengguguran sepenuhnya," dakwanya yang berkata "mesti ada tangan ghaib" dalam hal ini.

Puad yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), badan yang dibubarkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara pada PRU14 lalu, selanjutnya menuduh Thomas sebagai "AG disebalik tabir."

"Dia outsource atau menswastakan pendakwaan Najib kepada Peguam Datuk Sulaiman Abdullah Iyer dan Datuk Seri Gopal Seri Ram.

"Tidak menghairankan dia menswastakan pula kepada Datuk Mohamad Hanafiah untuk umumkan sahaja pengguguran kes Lim Guan Eng ini. Sebenarnya dia terlibat," katanya.

Bekas anggota majlis tertinggi Umno itu juga mendesak Tommy Thomas meletak jawatan sebagai AG.

"Kalau semua mahu diswastakan elok Tommy Thomas letak jawatan.

"Ye, kalau ada air muka SPRM juga perlu bertindak. Lawan balik. Jika tidak, AG dan SPRM sama sahaja. Bersubahat, berlakon dan dua kali lima," katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim yang juga bekas ketua menteri daripada dua pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah dan pembelian rumah banglo di bawah harga pasaran.

Mahkamah juga membebaskan ahli perniahaan Phang Li Koon daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim dalam membeli banglo itu di bawah harga pasaran.

Lihat Komen