malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Alliance Steel setuju rendahkan 'Tembok Besar China' Kuantan
ADS

Syarikat Alliance Steel (M) Sdn Bhd setuju untuk mengurangkan ketinggian tembok konkrit di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan daripada tiga meter kepada 1.8 meter, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.

Digelar 'Tembok Besar China' oleh penduduk Kuantan, pelan baru untuk tembok dengan kepanjangan sembilan kilometer itu akan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk kelulusan.

"Pada masa ini tembok itu setinggi tiga meter dan apa yang dipersetujui mereka adalah untuk menghantar pelan baru kepada MPK untuk memberitahu mereka akan menyemak semula spesifikasi tembok itu.

"Jika ia diluluskan MPK, mereka akan kurangkan ketinggian kepada 1.8 meter.

"Mereka boleh mengekalkan tembok konkrit pada ketinggian 1.8 meter, untuk bahagian lain mereka boleh bina dengan ketinggian 2.75 meter dengan pagar yang telus cahaya (menampakkan kawasan di sebalik tembok)," katanya kepada Malaysiakini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Malaysiakini berkata beliau mahu melihat tembok yang mengelilingi MCKIP dirobohkan.

Ong berkata, kunjungannya ke sana adalah untuk sesi taklimat dan membolehkannya membuat perbandingan dengan taman seumpamanya di China, iaitu Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou.

"Objektif ke MCKIP adalah untuk lihat sendiri keseluruhan rangka tindakan keseluruhan taman yang turut merangkumi peluasan pelabuhan Kuantan," katanya.

MCKIP dan Pelabuhan Kuantan mempunyai pemegang saham dan pemaju utama yang sama iaitu IJM Corporation. Ong berkata IJM memiliki 15 peratus pegangan dalam Pelabuhan Kuantan.

"Saya akan melawat taman perindustrian di Qinzhou dalam kunjungan saya ke China minggu depan.

"Kementerian saya dan kementerian sama di China telah setuju untuk mengadakan mesyuarat bersama pada Oktober ini di mana kami akan berbincang tentang pembangunan di kedua-dua taman perindustrian," katanya lagi.

Lihat Komen