malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Guan Eng: Percepat reformasi SPRM, AGC - BERSIH
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 3:07 PM
Dikemaskini: 7:09 AM
ADS

BERSIH menggesa kerajaan mempercepatkan pembaharuan dalam Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan kebimbangan mengenai keputusan untuk menggugurkan pendakwaan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana didakwa membeli banglo di bawah nilai pasaran.

Jawatankuasa pemandu BERSIH berkata walaupun terdapat kecurigaan mengenai motif politik dalam pertuduhan awal terhadap Lim, pembebasan beliau secara tiba-tiba telah menimbulkan persoalan jika pihak eksekutif telah campur tangan untuk membatalkan kes tersebut.

BERSIH maklum penjelasan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang menyatakan peguam negara Tommy Thomas telah mengundurkan diri daripada kes itu dan keputusan untuk menggugurkan pertuduhan dilakukan oleh pihak pendakwa raya, tetapi mendesak pembaharuan untuk dilaksanakan segera bagi menangani kebimbangan.

"Kes ini sekali lagi menunjukkan keperluan mendesak untuk (mempunyai) pejabat pendakwa raya yang bebas dan dipisahkan daripada pejabat peguam negara secepat mungkin supaya dapat menjernihkan kecurigaan umum mengenai peranan peguam negara, yang bertindak sebagai penasihat undang-undang (bagi pihak) cawangan eksekutif kerajaan, dalam mempengaruhi keputusan pihak pendakwaan.

"Keyakinan orang ramai terhadap SPRM sebagai badan yang benar-benar bebas juga tidak boleh ditangguhkan lagi. Ini boleh dibuat dengan menjadikan badan anti-rasuah sebagai suatu badan berperlembagaan dengan pelantikan anggotanya yang telus dan berwibawa.

"Ini akan memastikan badan anti-rasuah bebas daripada campur tangan luar dan tidak menjadi alat penindasan terhadap musuh-musuh politik," kata gabungan reformasi pilihan raya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, BERSIH menggesa kerajaan segera mereformasikan SPRM dan AGC.

Lihat Komen