Ahli sejarah dari Singapura, Thum Ping Tjin yang bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kenyataan Thum yang merujuk tarikh 31 Ogos sebagai "hari kemerdekaan tidak rasmi" Singapura terus mencetuskan kemarahan di seberang tambak.
Semalam, diplomat kanan Singapura yang bersara, Bilahari Kausikan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai percubaan campur tangan asing dan mempersoalkan kesetiaan Thum.
"Thum dan aktivis 'lain' bertemu Dr Mahathir dan menjemputnya untuk campur tangan dalam urusan politik dalaman Singapura.
"Apabila perlakuan ini digambarkan sebagai pengkhianatan, (Thum) menolak pencirian sifat itu sebagai tidak berasas dan menyatakan 'saya cintakan negara saya dan rakyat saya'.
"Sangat bagus. Tetapi yang mana negaranya dan siapa yang menjadi rakyatnya," kata Kausikan dalam catatan Facebook semalam.
Khamis lalu, Thum membuat hantaran Facebook menyatakan beliau bertemu dengan Dr Mahathir dan meminta beliau untuk "mengambil kepemimpinan di Asia Tenggara bagi mempromosikan demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat".
Malaysia teladan demokrasi
Pada Hari Kemerdekaan Malaysia keesokan harinya, Thum menulis "Selamat Hari Merdeka kepada rakyat bekas Persekutuan Tanah Melayu! (dan selamat hari kemerdekaan tidak rasmi kepada rakyat Singapura!) "
Susulan kritikan, beliau menafikan menjadi "pengkhianat" atas sebab pertemuan itu dan ucapan hari kemerdekaannya, menjelaskan bahawa beliau menyintai Singapura dan mahu republik itu menghargai demokrasi dengan menyebut Malaysia sebagai teladan.
"Saya cintakan negara saya dan rakyat saya. Saya percaya demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat akan menjadikan Singapura dan dunia kita lebih baik.
"Saya tidak akan berhenti berjuang untuk Singapura yang mengangkat nilai-nilai ini dan menghormati maruah dan hak setiap individu.
"Saya juga yakin dengan muafakat atas dasar saling menghormati.
"Malaysia kini menjadi penyuluh harapan untuk demokrasi di Asia Tenggara dan saya menyatakan kepada Mahathir harapan besar yang kami rasakan," katanya di Facebook.