malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Siasatan skandal 1MDB siap menjelang akhir tahun
Diterbitkan:  Sep 3, 2018 9:36 AM
Dikemaskini: 2:58 AM
ADS

Siasatan terhadap skandal 1MDB yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak secara langsung dijangka akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Menurut beberapa sumber buat masa ini siasatan yang belum disiapkan melibatkan maklumat yang perlu dikumpulkan di sekurang-kurangnya lima negara asing.

Difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan siasatan mereka kepada aspek pecah amanah, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi fokus terhadap isu pengubahan wang haram.

Kata sumber pegawai dari dua agensi keselamatan itu bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di AS, selain mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa Luxembourg, Switzerland, Belanda, Timur Tengah dan Singapura.

Menurut mereka, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan SPRM sedang giat mengumpul bukti kukuh bagi menyiapkan kes berkenaan.

"Ia termasuk transaksi haram yang dilakukan antara 2011 hingga 2014," katanya seperti dipetik NST hari ini.

Bagaimanapun sumber terbabit menambah siasatan itu rumit dan orang ramai tidak boleh berharap ia dapat dilakukan pada kadar segera.

"Ini bukan filem Hollywood. Siasatan ini kompleks dan penyiasat gigih mahu menyiapkan kes yang kuat dan meliputi semua aspek.

"Jika seseorang melihat bagaimana alirannya seperti apa yang ada dalam laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS atau dokumen yang didedahkan kepada orang awam, mudah untuk memahami bagaimana besar dan rumitnya kes ini.

"Sebab itu anda tidak boleh berharap siasatan skandal 1MDB dapat diselesaikan tanpa melalui proses yang sewajarnya," kata sumber itu.

Kata satu lagi sumber sangat penting untuk penyiasat mendapatkan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan bahawa berlaku pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB dibawa ke negara ini dan masuk ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak antara 2011 dan 2014.

"Pendakwaan tidak dapat dibuat ke atas jenayah yang berlaku di negara luar, tetapi penyiasat boleh mengumpul bukti tersebut sehingga ia melibatkan jenayah yang terjadi di negara ini," katanya.

Menurut sumber itu bukti melibatkan transaksi meragukan di bank-bank tempatan tidak mencukupi untuk membawa suspek di ke mahkamah.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki menyatakan siasatan agensi antirasuah itu terhadap skandal 1MDB sudah mencapai tahap 60 peratus.

Katanya baki 40 peratus lagi sedang diusahakan dan ia melibatkan pengumpulan bahan bukti yang ada di luar Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen