malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Bumiputera akan hilang tempat jika terima 3 juta lagi rakyat China
ADS

KONGRES BUMIPUTERA | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan kebimbangan sama ada Bumiputera akan dapat bersaing dengan kebanjiran usahawan dan peniaga dari China yang datang ke Malaysia.

Bercakap semasa sesi dialog mengenai ekonomi Bumiputera hari ini, Mahathir berkata gelombang baru itu berbeza dengan peneroka Cina yang awal di Malaysia - yang kebanyakannya terlibat dalam perniagaan kecil, di mana anak-anak mereka kini menguasai ekonomi utama di bandar-bandar.

"Ini adalah orang Cina yang berada dalam Malaysia yang mempunyai sikap yang boleh diterima oleh kita.

"Tetapi kita bawa masuk tiga million (juta) lagi orang negara China, apakah akan terjadi kepada kita?

"Mereka rajin, bekerja keras dan berpengetahuan dalam bidang perniagaan. Mereka yang akan datang bukan yang daripada buruh kasar, tapi orang yang telah berjaya .

"Apakah mampu kita bersaing dengan mereka?" beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai warga China yang membeli hartanah di Malaysia.

Melainkan bumiputera bekerja lebih keras untuk mengekalkan kedudukan mereka di pusat bandar, Mahathir memberi amaran bahawa kebanjiran rakyat China akan mewujudkan jurang meluas antara bandar dan luar bandar berdasarkan etnik.

"Saya rasa kalau kita terima 3 milion lagi orang Cina daripada negara China, maka kita akan kehilangan tempat.

"Mereka yang kaya akan membeli tanah kita, kita akan pindah semakin jauh dari bandar sehinga kita ke pinggir hutan. Jika masih ada hutan," katanya.

Terdahulu, lebih 2,000 peserta menghadiri Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018) yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Mohamed Azmin Ali yang bertindak selaku moderator, isteri Mahathir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, menteri-menteri kabinet dan menteri besar.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini mengatakan kongres hari ini akan menjadi platform dalam usaha kerajaan untuk merangka agenda pemberdayaan baru bagi masyarakat Bumiputera.

 

Lihat Komen