malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelantan miskin walaupun rakyatnya pandai, kata Dr M
ADS

KONGRES BUMIPUTERA | Kelantan merupakan sebuah negeri yang miskin walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada usahawan yang mahir dan berbakat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini disebabkan kerajaan negeri yang dikuasai PAS tidak dapat mentadbir sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan persekutuan.

"Sebenarnya saya minta maaf kata benda benar. Bantuan pusat mesti diberi untuk bantu kerajaan Kelantan sebab kekurangan kutipan cukai. Negeri itu miskin sebaliknya orangnya pandai.

"Banyak pegawai tinggi kerajaan orang Kelantan. Termasuk bekas setiausaha saya. Mereka cekap belaka. Kalau kerajaan pusat tak tolong, kerajaan negeri tak boleh diadakan sebab wang tak cukup. Ini kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peluang perniagaan Bumiputera di Kelantan dalam sesi soal jawab semasa Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi ini.

Mahathir berkata keadaan ini menghalang ramai usahawan Kelantan daripada mengembangkan bakat mereka dan membangunkan negeri itu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob antara mereka yang hadir pada kongres hari ini bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertindak selaku pemudahcara.

Tumpu pembangunan negeri

Perdana menteri menegaskan ramai rakyat Kelantan berjaya dengan perniagaan di negeri-negeri lain, tetapi tidak dapat mempamerkan bakat mereka di negeri sendiri.

"Sebenarnya orang Kelantan ni bijak belaka. Kalau perhatikan mana-mana state pun, ada bisnes ada lah orang Kelantan.

"Kenapa tak boleh buat itu di Kelantan. Pekerja di Singapura juga terdiri orang Kelantan, (yang tinggal) di johor. Mereka cekap dan mestilah diberi iklim yang sesuai supaya tumpu pada pembangunan negeri Kelantan.

"Mereka masih ada industri mereka yang juga maju. Serunding, dodol pun di Kelantan. Banyak barang buatan datan dari Kelantan. Tak tahu macam mana orang begitu cekap tidak ada di Kelantan tapi ada di tempat lain. Ada yang tak kena di situ. Jadi kena kaji. Kita nak tau sebab apa.

Mahathir dalam pada itu turut memuji semangat keusahawanan yang ditonjolkan wanita Kelantan.

"Pemilik ladang besar Kelantan adalah wanita. Tak taulah lelaki buat apa," katanya.

Kongres hari ini menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menjadi platform dalam usaha kerajaan merangka agenda bagi pemberdayaan Bumiputera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen