malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes bunuh Kevin Morais: Tertuduh ke-7 nafi jadi dalang
ADS

Tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais menafikan bahawa dia adalah dalang dalam semua kejadian yang menimpa Kevin Morais, yang mayatnya ditemui disumbat di dalam guni dan disimen dalam tong dram, tiga tahun lalu.

S. Ravi Chandaran, 47, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Jay Moy Wei Jiun, bahawa semua ceritanya (keterangan) mengenai apa yang berlaku sepanjang 4 September 2015, iaitu hari Kevin Morais diculik, tidak masuk akal.

Saksi pembelaan keenam itu menjelaskan dia hanya mengikut apa sahaja arahan yang diberikan G Gunasekaran atau lebih dikenali sebagai Jay, bekas tertuduh kedua dalam kes itu.

“Saya tidak faham apa maksud tidak masuk akal, tetapi saya hanya mengikut arahan Jay,” katanya ketika pemeriksaan balas Moy yang mewakili tertuduh pertama, pakar patologi tentera, Kolonel Dr R. Kunaseegaran pada prosiding bela diri hari Ke-22 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Ravi Chandaran juga mengakui sebelum ditangkap dalam kes itu, dia bekerja sebagai pemberi pinjaman wang dan Jay sering mengikutinya malah turut mendengar arahannya untuk membuat kerja tersebut.

Tertuduh berkata Jay juga menjadi pemandunya setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur kerana dia meminjamkan keretanya kepada Jay kira-kira lapan bulan sebelum kejadian tersebut namun tidak bersetuju bahawa Jay akan membawanya ke mana sahaja yang diminta.

“Dia (G Gunasekaran) bukan pekerja saya, saya tidak boleh paksa dia bawa saya ke sesuatu tempat,” katanya.

R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, turut diwakili Datuk N.Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 September.

- Bernama

Lihat Komen