malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hatta: Jangan batal 4 ribu koperasi 'hidup segan mati tak mahu'
ADS

Kementerian Pembangunan Usahawan mahu setiap koperasi berdaftar yang tidak aktif dibangunkan semula dan tidak dibatalkan pendaftarannya.

Timbalan Menteri berkenaan, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata lebih 14,000 koperasi berdaftar di seluruh negara namun hanya lebih 10,000 masih aktif manakala selebihnya seperti "hidup segan, mati tak mahu".

"Kementerian sudah minta kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) supaya tidak menyahsenaraikan mana-mana koperasi tidak aktif, sebaliknya membantu untuk memberi nafas baharu kepada mereka agar kembali bergerak," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan dan Hari Keusahawanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman dekat Kangar hari ini.

Katanya, antara punca yang menyebabkan koperasi tidak aktif ialah bilangan anggota yang menyusut dan pihak pengurusan gagal memainkan peranan dengan baik demi memastikan survival pertubuhan mereka.

Beliau berkata selain menawarkan pinjaman, koperasi perlu menceburi pelbagai bidang keusahawanan.

"Ramai usahawan mencapai keuntungan menerusi e-perdagangan, jadi tidak mustahil untuk koperasi menggunakan kemudahan teknologi untuk tujuan sama," katanya.

- Bernama

Lihat Komen