malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tamrin Ghafar bebas dari tuduhan menghasut
ADS

Bekas Anggota Parlimen Batu Berendam Datuk Tamrin Ghafar hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada pertuduhan hasutan.

Hakim Azwarnida Affandi membuat keputusan itu selepas pasukan pendakwa memberitahu mahkamah, mereka menarik balik pertuduhan terhadap Tamrin yang dibuat mengikut Akta Hasutan 1948.

Tamrin didakwa mengikut seksyen 4 (1) (b) akta tersebut ekoran ucapan yang disampaikannya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2013.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memberitahu mahkamah pihaknya bersetuju untuk mengecualikan pertuduhan terhadap Tamrin selepas berbincang dengan Peguam Negara Tommy Thomas.

Tamrin merupakan anak kepada bekas timbalan perdana menteri iaitu Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba. Beliau pernah menyertai PAS sebelum meninggalkan parti itu beberapa tahun lalu.

Sementara itu ditemui media di luar mahkamah Tamrin memberitahu dia gembira dan lega apabila kes berkenaan diselesaikan selepas berlanjutan selama lima tahun.

Kata Tamrin, dia percaya kes itu memang tidak wajar dibawa ke mahkamah sejak awal lagi kerana apa yang diucapkannya pada program itu sekadar pandangan biasa saja.

"Bagaimanapun di bawah rejim lama yang dipimpin Najib, kita tidak ada kebebasan menyuarakan pandangan sendiri," katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya kata Tamrin, Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerajaan memberikan kebebasan itu.

"Inilah yang dimahukan rakyat selama ini," katanya yang diwakili peguam Eric Paulsen dalam perbicaraan tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen