malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AG pertimbang pinda pertuduhan 442 tahanan Sosma
Diterbitkan:  Aug 29, 2018 10:18 AM
Dikemaskini: 4:00 AM
ADS

Peguam Negara (AG) Tommy Thomas mempertimbangkan untuk meminda pertuduhan terhadap 442 tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pengumuman itu dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berikutan tahanan melancarkan mogok lapar pada 24 Ogos lalu bagi menuntut kerajaan memansuhkan Sosma.

Hanipa, yang melawat tahanan di penjara Sungai Buloh dan memujuk mereka untuk mengakhiri mogok lapar pada 26 Ogos, berkata beliau telah merujuk kepada Tommy mengenai reman di bawah Sosma.

"Peguam Negara, dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya, menimbangkan sama ada pejabatnya (AGC) boleh meminda tuduhan terhadap mereka atau tidak," kata Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Permohonan berkenaan akan digunakan terhadap 442 tahanan yang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli persatuan yang menyalahi undang-undang, serta Seksyen 141 hingga 158 Kanun Keseksaan bagi kesalahan terhadap ketenteraman awam.

"Proses ini akan mengambil sedikit masa dan perlu berdasarkan kepada kes," katanya, sambil menjelaskan pendakwa raya akan memberi keutamaan kepada pesalah wanita dan juvana, tahanan yang sakit atau lemah.

"Apabila pertuduhan dipinda, tertuduh sama ada boleh mengaku bersalah atau memohon diadakan perbicaraan.

Undang-undang prosedur

"Sekiranya pesalah-pesalah ini menuntut perbicaraan pertuduhan yang dipinda, ikat jamin boleh dikenakan ke atas mereka, dan mengikut budi bicara mahkamah sama ada atau tidak membebaskannya," katanya.

Peguam Negara berkata Sosma merupakan undang-undang prosedur yang menetapkan prosedur bagi kesalahan tertentu, kata anggota parlimen Sepang itu lagi.

Walau bagaimanapun, 22 orang tahanan lain yang disiasat kerana didakwa melakukan kesalahan keganasan di bawah Kanun Keseksaan, tidak akan dipinda pertuduhannya.

"Pada pandangan saya kes-kes tersebut paling baik untuk ditangani oleh AG berdasarkan budi bicaranya menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan sehinggalah kabinet membuat keputusan muktamad mengenai Sosma," katanya.

Lihat Komen