malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN bawa cadangan JK khas kaji undang-undang keselamatan ke kabinet
ADS

Cadangan dan perakuan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang keselamatan yang tidak lagi sesuai dengan landskap sosial dan politik hari ini akan dibawa kepada jemaah menteri tidak lama lagi untuk pertimbangan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa khas tersebut sudah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali iaitu pada 13 Julai, 30 Julai dan hari ini (28 Ogos).

"Skop kajian oleh jawatankuasa ini merangkumi undang-undang di bawah bidang kuasa KDN yang dinyatakan dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1985, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015, dan peruntukan mengenai hukuman mati mandatori," kata KDN.

Tambahnya, terma rujukan jawatankuasa ini termasuk juga mengenalpasti peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang berkenaan yang tidak selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, mengkaji implikasi jika undang-undang berkenaan dimansuh atau dipinda.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan dianggotai oleh wakil pelbagai jabatan, agensi serta pihak-pihak yang berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Badan Peguam Malaysia, ahli akademik, pengamal undang-undang dan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, jelas KDN.

- Bernama

Lihat Komen