malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Warga asing boleh beli hartanah, tapi dengan syarat'
Diterbitkan:  Aug 28, 2018 9:14 PM
Dikemaskini: 1:18 PM
ADS

Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bukan warganegara dibenarkan untuk menetap di Malaysia menerusi skim Malaysia My Second Home (MM2H).

"Syarat-syaratnya dinyatakan secara jelas bagi mereka yang berminat dan maklumat tentang program ini juga boleh diperolehi secara terbuka," katanya dalam kenyataan.

Berhubung pembelian hartanah pula, pejabat perdana menteri berkata Malaysia meletakkan syarat-syarat tertentu dan maklumat tentangnya juga terbuka kepada umum.

"Namun pembelian hartanah tidak menjamin secara automatik mereka menjadi penduduk di negara ini," katanya lagi.

Kenyataan pejabat perdana menteri itu susulan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa orang luar dilarang membeli hartanah di Forest City, Johor.

Bagaimanapun ia tidak menyebut tentang kenyataan Mahathir itu.

Forest City merupakan projek hartanah berkeluasan 12 kilometer persegi di empat pulau buatan. Ia dijangka didiami 700,000 orang menjelang 2035 dan dipasarkan sebagai rumah kedua untuk golongan elit dari China.

Sementara itu, pejabat perdana menteri berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan pelaburan langsung asing yang menyumbang kepada pemindahan teknologi dan mewujudkan industri dan peluang pekerjan kepada penduduk tempatan.

Berkenaan pelancong China, kenyataan itu berkata kerajaan mengalu-alukan mereka selagi mematuhi syarat yang ditetapkan imigresen.

"Pelancong China diberi visa masuk 30-hari ke Malaysia. Pada 2017, Malaysia menarik sejumlah 2.3 pelancong dari China dan menyasarkan 10 juta pada tahun-tahun mendatang," katanya lagi.

Lihat Komen