malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Penguat kuasa dibaling tahi dan kencing lembu, 5 individu ditahan
Diterbitkan:  Aug 28, 2018 12:23 AM
Dikemaskini: Aug 28, 2018 1:17 AM
ADS

Polis dilaporkan menahan lima individu di Bandar Botanik, Klang, berikutan pertembungan dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pagi tadi ketika pihak berkuasa merobohkan satu kandang lembu dan dua kuil Hindu.

Mereka yang ditahan adalah pemilik kandang itu, dua beradiknya dan aktivis dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

The Sun memetik Ketua Polis Kelang Selatan Shamsul Amar Ramlee sebagai berkata, pemilik kandang itu ditahan kerana didakwa mengganggu pekerja MPK dengan membaling air kencing dan tahi lembu kepada mereka.

Empat yang lain pula ditahan kerana didakwa membuat provokasi apabila menolak pekerja yang sedang menjalankan tugas, katanya.

Shamsul berkata lima lelaki itu berusia antara 24 hingga 59 tahun dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah untuk soal siasat.

Menurut The Star, penasihat PSM Klang K Ramasamy berkata kira-kira 150 pegawai penguatkuasa daripada Unit Tempur Ringan (LSF) PDRM, MPK dan pejabat tanah Klang tiba pada 8.30 pagi untuk kerja perobohan.

Beliau mendakwa MPK turut merampas 30 daripada 150 lembu yang tinggal di kandang itu.

Katanya lagi, PSM telah cuba berunding untuk menghentikan kerja perobohan, namun kekecohan tercetus selepas salah seorang peserta protes memukul polis berpakaian preman kerana menyangkanya sebagai samseng.

The Sun dan The Star menyatakan pemilik kandang itu bernama A Thevindran, manakala aktivis PSM yang ditahan adalah Nik Aziz Afiq dan K Paranjothi.

Menurut The Sun, Setiausaha PSM Klang M Sivaranjini berkata sudah berdekad Thevindran menternak lembu di situ.

Kawasan itu pada mulanya adalah estet Bukit Tinggi sebelum dibangunkan menjadi Taman Botanik, dan pemaju dikatakan membenarkan dia kekal di situ.

Kata Sivaranji, perjanjian mulut antara Gamuda Berhad dengan Thevindran adalah dia akhirnya akan mendapat kelulusan untuk tanah itu dan syarikat juga akan membina struktur kandang dan dua kuil untuknya.

Namun pada 2016, pejabat tanah dikatakan memberitahunya bahawa tanah itu sudah dipindah milik kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Thevindran mencari kawasan lain sekitar 5 kilometer dari situ namun pihak berkuasa menawarkan tempat baru sejauh 40 kilometer.

Sivaranjini berkata Thevindran menolak tawaran itu dan minggu lalu menerima notis untuk mengosongkan tanah itu.

Katanya lagi, ADUN Sentosa G Gunaraj campur tangan dalam kerja perobohan hari ini dan berjaya menangguhkannya selama dua hari untuk perbincangan lanjut. Namun sebahagian daripada kandang dan kuil sudah pun diruntuhkan.

Sementara itu, The Star melaporkan selain JAIS, tanah di situ turut dimiliki Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Laporan itu juga berkata MPK mendapat banyak laporan berhubung lembu yang merayau-rayau di jalan raya sekitar dan mengancam penunggang motosikal, sementara polis berkata menerima laporan kemalangan melibatkan kenderaan dengan lembu.

Kata laporan itu lagi, tahi lembu di jalan-jalan di sana juga mengundang rasa tidak senang penduduk manakala peniaga merungut tentang bau busuk.

Lihat Komen