malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib sindir k'jaan HARAPAN tak pandai matematik
Diterbitkan:  Aug 27, 2018 10:54 PM
Dikemaskini: 3:15 PM
ADS

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoalkan kemahiran matematik pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melalui kenyataan di Facebook, Najib merujuk isu Taman Perindustrian Malaysia-China (MCKIP) di Kuantan.

Najib menyorot bahawa MCKIP adalah taman perindustrian berkembar dengan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (QCMIP) di bandar Qinzhou di negara China.

Jelas Najib, memiliki 50 peratus tapak perindustrian di negara China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk lebih baik berbanding memiliki 100 peratus taman perindustrian di Malaysia yang mempunyai 30 juta orang.

"MCKIP dimiliki oleh Malaysia dengan pegangan 51 peratus saham manakala syarikat-syarikat dari China dengan 49 peratus.

"CMQIP pula dimiliki oleh China dengan 51 peratus pegangan saham dan 49 peratus oleh Malaysia dengan keluasan tiga kali ganda lebih besar daripada MCKIP di Kuantan.

"CMQIP kini juga sangat berjaya dan hasil pengeluaran kilang-kilang di sana telah mencecah RMB10 billion (RM6 bilion) untuk tahun 2017 sahaja.

"Jika kita arif dalam matematik dan tidak kerap silap mengenai titik perpuluhan, sudah tentu kita faham bahawa memiliki 50 peratus tapak perindustrian untuk pasaran 1.4 bilion orang adalah lebih baik dari memiliki 100 peratus untuk pasaran 30 juta orang sahaja," katanya.

Najib berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara Malaysiakini selepas pulang dari negara China minggu lalu bahawa beliau mahu merobohkan tembok di MCKIP.

Selain itu, Najib juga merujuk kenyataan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang menjelaskan bahawa tembok di MCKIP hanya mengelilingi kompleks kilang Alliance Steel sahaja dan bukan seluruh taman perindustrian itu.

"Kilang besi bukan tempat selamat buat orang awam keluar masuk dengan mudah. Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kilang itu membina tembok sebagai langkah pengawalan dan keselamatan.

"Ini dah diperjelaskan sebelum ini tapi tenggelam dengan fitnah disebar HARAPAN.

"Fuziah memberitahu wartawan bahawa beliau akan menjelaskan kepada Dr Mahathir tidak lama lagi.

"Fuziah juga mengakui bahawa ramai dari kawasan parlimen beliau menghargai peluang pekerjaan di MCKIP dan tidak mahu pekerjaan mereka terjejas.

"Alhamdulillah, satu lagi fitnah sebelum PRU ke-14 terhadap kerajaan BN dulu telah diperbetulkan. Yang baik dituduh sebagai buruk," kata Najib.

Kenyataan terbaru Najib itu merupakan kenyatan kedua hari ini yang menyifatkan "fitnah terhadap BN diperbetulkan".

Terdahulu, Najib turut menyifatkan hal serupa berhubung kenyataan Timbalan Menteri Dalam negeri Datuk Azis Jamman berhubung angka kes kaum India tanpa kewarganegaraan.

Lihat Komen