malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Suaram kecam HARAPAN: Polis bantu K'tan roboh sekatan Orang Asli
Diterbitkan:  Aug 27, 2018 3:37 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

NGO hak asasi manusia, Suaram mengkritik kerajaan Pakatan Harapan hari ini kerana kurang bertegas terhadap kerajaan negeri Kelantan, pimpinan PAS dan membenarkan agensi persekutuan terlibat dalam perobohan sekatan yang didirikan masyarakat Orang Asli di gua Musang.

Masyarakat Temiar dilaporkan membina sekatan terhadap syarikat perladangan durian Musang King bagi menuntuk hak tanah adat mereka yang enggan diiktiraf kerajaan Kelantan.

"Selain kerajaan negeri Kelantan yang tidak mempedulikan hak asasi manusia dan alam sekitar, kerajaan persekutuan juga gagal memberi sebarang tekanan dan berunding dengan menyelesaikan perkara tersebut dengan Kelantan.

"Jaminan dan komitmen kerajaan persekutuan dikhianati oleh fakta bahawa pihak Polis DiRaja Malaysia telah mengambil peranan dalam menyokong perobohan sekatan di Gua Musang itu," kata pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai penguat kuasa, termasuk polis, mengawasi perobohan sekatan pagi ini yang dikatakan menghalang syarikat durian itu masuk ke ladangnya.

Hak tanah adat peribumi

Sevan berkata walaupun negara bakal menyambut hari kemerdekaan pada hari Jumaat ini tetapi kelihatan tiada "kemerdekaan" untuk masyarakat Orang Asli dan hak tanah mereka.

"Kerajaan yang diketuai oleh PAS di Kelantan mesti menyedari kewajipan Malaysia untuk hak asasi manusia antarabangsa terutama yang berkaitan dengan hak tanah adat masyarakat peribumi.

"Selain itu, kerajaan negeri Kelantan juga bertanggungjawab untuk mengambil kira kesan alam sekitar akibat daripada penebangan hutan yang berlaku di Kelantan yang telah menyumbang kepada pencemaran air dan banjir di negeri itu," katanya.

Mengulas hal berasingan, Sevan turut mengkritik kerajaan Selangor yang ditadbir HARAPAN kerana didakwa melakukan pengusiran paksa dan perobohan kandang lembu di Bukit Tinggi, Klang.

"Suaram mengulangi kecaman kami atas pelanggaran hak asasi manusia terhadap individu dan komuniti ini serta menyeru kerajaan negeri Kelantan dan Selangor untuk menghentikan tindakan mereka yang tidak wajar itu dan mengadakan dialog dengan masyarakat untuk mencapai penyelesaian yang adil kepada semua pihak yang terlibat.

"Suaram menyeru kerajaan persekutuan untuk memastikan tidak ada agensi persekutuan atau agensi penguatkuasaan yang akan digunakan oleh kerajaan negeri untuk melakukan kerja-kerja kotor melanggar hak asasi manusia menerusi pengusiran penghuni secara paksa dan merobohkan sekatan komuniti," katanya.

Lima orang, termasuk dua aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap ketika kekecohan semasa perobohan di kandang tersebut. Sevan dalam kenyataannya juga menggesa pembebasan segera bagi mereka yang ditahan itu.

Lihat Komen