malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketika menunggu ibu menjemputnya selepas tuisyen, Nur Adanee Azmi, 10, ternampak sekumpulan budak lelaki sedang menyepak sesuatu.

Ternyata ‘bahan’ sepakan mereka itu adalah tiga ekor anak kucing. Marah dengan kekejaman itu, Nur Adanee mendesak agar mereka tidak menyakiti haiwan itu. Kemudian, anak-anak kucing itu dibawa pulang ke rumahnya.

Sepuluh tahun berlalu, kini dua ekor anak kucing itu masih tinggal di rumah Nur Adanee di Ampang, Selangor. Malangnya, seekor lagi terlepas lari.

Kejadian 10 tahun lalu itu menjadi titik tolak kepada banyak misi menyelamat lain, sehinggalah kini beliau dan keluarganya mempunyai 44 ekor kucing di rumah mereka. Selain yang diselamatkan, ‘keluarga’ kucing mereka termasuk lima pedigri, empat daripadanya baka ragdoll, manakala yang seekor lagi jenis American Curl.

Jika dihitung kesemuanya, keluarga peminat kucing itu telah menjaga lebih seratus ekor haiwan berkenaan sejak sedekad lalu, kebanyakannya yang diselamatkan dan kucing liar.

Dalam usaha membantu mengurangkan bilangan kucing liar dalam komuniti, kesemua kucing itu dimandulkan.

Ibu kucing tak berdaya

“Amat menyedihkan apabila melihat ibu kucing yang tidak berdaya cuba memberi anaknya makan sedangkan si ibu itu sendiri tidak mendapat makanan yang cukup,” kata Nur Adanee, yang kini berusia 20 tahun, kepada Bernama.

Pada mulanya, kucing-kucing dibenar bebas berkeliaran di seluruh rumah tetapi apabila jumlah semakin bertambah, keadaan sudah tidak praktikal lagi untuk membiarkan haiwan itu lepas bebas memandangkan Nur Adanee dan keluarganya tinggal di rumah teres dengan ruang yang terhad.

Ibu bapa Nur Adanee kemudiannya mendapatkan sangkar kucing yang luas dan selesa, ditempah khas untuk kucing mereka. Haiwan itu masih boleh bebas berkeliaran selama kira-kira dua jam setiap hari ketika Nur Adanee dan ibunya membersihkan sangkar.

Perbelanjaan bulanan untuk menjaga kesemua haiwan kesayangan itu mencapai kira-kira RM2,000.

“Walaupun agak mahal untuk menjaga kucing-kucing ini, kita tidak boleh abaikan kucing liar yang sangat memerlukan bantuan manusia,” kata Nur Adanee, sambil menambah bahawa amat menyedihkan apabila membaca laporan mengenai kucing liar yang disiksa atau diracun.

Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) menggalakkan individu-individu untuk memberi bantuan kepada kucing liar tanpa perlu berbelanja terlalu banyak.

SPCA menawarkan program pengambilan haiwan angkat untuk kucing di mana orang ramai hanya perlu membayar antara RM50 dan RM100 untuk berbuat demikian. Yuran itu termasuk vaksin pertama, ubat cacing dan pemandulan.

SPCA kini menganjurkan program Stray Free Selangor (SFS), di mana ia menawarkan perkhidmatan pemandulan atau pengkasian untuk kucing liar dengan kadar subsidi yang sangat tinggi, dengan hanya perlu membayar sebanyak RM24.

Kadar biasa yang dikenakan oleh organisasi itu untuk memandul atau mengkasi adalah RM120 bagi setiap kucing.

Orang ramai dan kalangan penyelamat kucing boleh menghubungi SPCA untuk mengasi kucing liar di bawah program SFS, yang dibiayai oleh kerabat Diraja Selangor dan kerajaan negeri - bertujuan mengurangkan bilangan kucing liar di negeri itu.

Pegawai Pendidikan dan Acara SPCA Arief Fauzy berkata organisasi itu sering dijemput memberi ceramah kepada komuniti atau di sekolah-sekolah dan kolej-kolej untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan menyanyangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap kucing liar.

Kucing tempatan lebih berdaya tahan

“Tidak semua orang mengasihi haiwan, kami mahu orang ramai lebih toleransi dan menerima kucing-kucing itu sebagai sebahagian daripada biodiversiti kita,” katanya.

Veterinar Universiti Putra Malaysia Dr Puteri Azaziah Megat Abdul Rani berkata adalah bermanfaat untuk memelihara kucing sebagai haiwan kesayangan kerana penyelidikan menunjukkan bahawa haiwan itu dapat memahami dan bertindak balas terhadap emosi manusia.

Hormon oxytocin, yang dikeluarkan apabila manusia berada bersama haiwan kesayangan, dapat membantu melegakan tekanan dan menurunkan tekanan darah, katanya.

Puteri Azaziah, yang menjalankan penyelidikan mengenai zoonosis atau jangkitan yang disebarkan di antara haiwan dan manusia, berkata adalah lebih menjimatkan untuk menyelamatkan dan mengambil kucing liar sebagai haiwan angkat berbanding membeli baka tulen daripada kedai haiwan kesayangan.

“Berdasarkan pengalaman, saya dapati kucing tempatan lebih kuat daya tahan dan tidak mudah jatuh sakit berbanding kucing baka tulen. Apa pun, setiap kucing pasti menunjukkan kasih sayang dan mempunyai hubungan akrab dengan pemiliknya," katanya.

- terjemahan Sarimah Othman, Bernama

Lihat Komen