malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tuduhan HARAPAN rosak poster kempen MCA tak berasas'
ADS

PRK BALAKONG | Tuduhan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong Tan Chee Teong kononnya DAP merosakkan bahan kempen MCA adalah tidak berasas, kata calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki.

Wong berkata dakwaan tersebut dibuat melalui laman Facebook Tan yang pada mulanya berbunyi 'Saya (Tan) akan mengadakan sidang media berhubung kerosakan bahan kempen MCA oleh DAP', namun katanya kiriman tersebut telah disunting selepas seketika, dan pihaknya mempunyai ‘screen shot’ hantaran itu sebagai bukti.

"Saya kesal dengan perkara yang tidak bertanggungjawab ini, pihak MCA terus melakukan tuduhan tanpa sebarang bukti. Ini bukan sikap calon (Tan) yang kita semua nak. Kita perlukan satu pilihan raya yang adil dan telus.

"Justeru satu laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dibuat berhubung perkara ini dan MCA perlu memberi penjelasan kepada kami kerana ia merosakkan imej DAP," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir anggota DUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, yang juga pengarah PRK Pakatan Harapan DUN Balakong.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dari DAP dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen