PRK SERI SETIA | Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia daripada Pakatan Harapan (HARAPAN), Halimey Abu Bakar akan mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat kaunseling komuniti di kawasan perumahan kos rendah bagi menangani masalah sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata langkah itu dibuat berikutan penghuni perumahan tersebut terdedah kepada masalah ekonomi yang turut mendorong mereka terlibat dengan kegiatan sosial.
"Kehidupan di bandar terutamanya dalam kalangan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran kerana rata-rata penghuni berpendapatan rendah.
"Selain terdedah kepada masalah ekonomi seperti dibuang kerja, bebanan hutang dan kos sara hidup yang tidak sepadan mereka juga berdepan impak sosial dan jenayah termasuk perceraian.
“Jadi di pusat ini kaunselor yang dilantik itu akan memberi nasihat dan membantu penghuni berhubung masalah yang dihadapi," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan PPR Lembah Subang di Petaling Jaya, hari ini.
Halimey menentang Halimah
Halimey berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PAS, Dr Halimah Ali pada PRK berkenaan yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas akibat kanser usus.
Bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berkata pihaknya akan memberi tumpuan untuk mewujudkan pusat kaunseling berkenaan di kawasan PPR Lembah Subang terlebih dahulu sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain di bawah DUN Seri Setia.
Terdahulu, beliau turut meluangkan masa melawat pusat bimbingan Al-Quran dan kemasyarakatan di kawasan PPR berkenaan.
Mengulas mengenai penerimaan penduduk di kawasan DUN tersebut, Halimey berkata kempen sepanjang tujuh hari itu ternyata mendapat sambutan yang positif daripada penduduk.
"Alhamdulillah saya dan jentera (kempen) bergerak dengan baik sepanjang tujuh hari berkempen bermula Sabtu lepas," katanya.
- Bernama