malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri tak tahu arahan pindahkan Zamihan ke Jakim
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa hari ini menafikan dakwaan pemindahan Zamihan Mat Zin kembali ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibuat atas arahan beliau.

Sebaliknya tegas Mujahid, keputusan untuk memindahkan pendakwah kontroversi itu dalam tempoh 24 jam dilakukan sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya tidak tahu ada arahan sebegitu. (Itu) Urusan (beliau) dengan kementerian (KDN),” katanya pada sidang medianya di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Mekah.

Sebelum ini, Zamihan mendakwa selepas Mujahid dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim, beliau diarah dipindahkan daripada KDN ke Jakim dalam masa 24 jam.

Kaatnya, beliau sendiri tidak tahu punca arahan perpindahan semula ke Jakim dan usahanya mendapatkan penjelasan daripada bahagian sumber manusia juga gagal.

Zamihan antara 46 panel pemulih suspek kes berkaitan militan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

Beliau merupakan pegawai kader Jakim sebelum dipinjamkan kepada KDN untuk menyemak penerbitan agama dan ditempatkan di Jabatan Penjara sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan Jabatan Penjara menamatkan kontrak Zamihan sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata beliau akan menunggu kenyataan daripada KDN sebelum mengulas lanjut mengenai pemindahan Zamihan ke Jakim.

“Saya pun dapat berita itu (pemindahan Zamihan) di Mekah. Saya masih memerlukan maklumat. Cuma saya rasa pihak KDN juga akan bagi kenyataan kerana mereka ambil dia (Zamihan) daripada kita. Kita tunggu dulu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen