malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Halimey cadang 'rumah ngaji' di setiap blok pangsapuri
ADS

PRK SERI SETIA | Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Pakatan Harapan (HARAPAN) Halimey Abu Bakar bercadang mewujudkan 'Rumah Ngaji' di setiap blok kediaman pangsapuri, sekiranya dipilih pada PRK itu 8 September depan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menyemarakkan lagi budaya membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

"Ini juga adalah berdasarkan prinsip 'Fastabiqul Khairat' dianjurkan Islam yang membawa maksud berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan.

"Dengan itu, saya dengan penuh insaf dan sedaya-upaya akan melaksanakan prinsip Islam sebagai cara hidup dalam perjuangan saya sebagai pemimpin masyarakat di DUN Seri Setia ini," katanya dalam sidang media hariannya di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya bakal berdepan calon PAS iaitu bekas anggota Exco kerajaan Selangor Dr Halimah Ali pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, 2 Ogos lepas.

Selain itu, Halimey berkata pihaknya juga bercadang untuk memperluas lagi program kesedaran terhadap cara hidup dan nilai Islam agar tidak hanya di masjid dan surau, selain menyasarkan penyertaan golonga belia sebagai langkah membentuk mereka ke arah memiliki sifat kerohanian yang murni.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mendabik dada dengan menyatakan hanya mereka sahaja yang berhak bercakap mengenai Islam termasuk sepanjang kempen PRK itu berlangsung.

Katanya ia kerana sudah ada agensi tertentu yang mempunyai autoriti untuk mengendalikan hal-hal berkaitan agama, selain kerajaan negeri yang diterajui HARAPAN yang terdiri daripada parti gabungan pelbagai bangsa telah membuktikan mereka berjaya menepati konsep fastabiqul khairat dalam setiap urusan pentadbirannya.

- Bernama

Lihat Komen