malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saifuddin: Model politik lebih matang lepas 100 hari
ADS

WAWANCARA | Selepas seratus hari di tampuk pentadbiran negara, Datuk Saifuddin Abdullah yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membawa perubahan model politik yang lebih matang dalam Malaysia Baru.

Saifuddin yang juga merupakan menteri luar negeri bercakap dengan Malaysiakini di Hangzhou, China ketika lawatan kerja bersama perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sempena 100 hari Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan, beliau berhasrat untuk membawa demokrasi yang lebih progresif di negara ini.

"Saya yakin kita boleh melunaskan janji-janji itu dan yang lebih mustahak lagi, saya yakin konfigurasi atau model politik yang lebih matang.

"Demokrasi yang lebih progresif itu boleh dicapai kerana elemen-elemen itu nampak dengan jelas.

"Di sini bukan soal HARAPAN menang, tetapi politik yang lebih sentral (politik kelompok tengah), yang lebih centrist (kelompok tengah) itu akan menang dan itu baik untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

Anggota parlimen Indera Mahkota itu juga berkata pimpinan kini telah membuktikan bahawa mereka boleh membentuk sebuah kerajaan dalam masa yang pantas walaupun dibelenggu dengan masalah dan skandal yang ditinggalkan oleh BN.

"Besarnya masalah itu di luar jangkaan. Kita telah berjaya melunaskan sebahagian daripan 10 janji 100 hari, kita telah mula melaksanakan sebahagian janji-janji yang lain, yang tempoh masanya lebih panjang," katanya.

Namun begitu, menurut beliau, perkara yang paling mustahak adalah untuk memenuhi hasrat agenda reformasi.

Ada beberapa perkara yang telah laksanakan ataupun paling kurang pentadbiran ini telah mula laksanakan dan proses membina landasan untuk membentuk 'Malaysia Baru' yang lebih baik, lebih inklusif dan progresif itu telah bermula.

"Memanglah memenuhi 10 janji 100 hari itu mustahak, memulakan dan memenuhi janji-janji lain itu mustahak, tetapi yang lebih utama ialah bagaimana Malaysia Baru itu mula digerakkan, Malaysia yang lebih baik itu mula digerakkan.

"Sebab ia melibatkan perubahan paradigma, perubahan pendekatan yang akan menghasilkan dasar-dasar dan program-program baru untuk manfaat rakyat," ujar Saifuddin.

Sukar bayangkan pertukaran kerajaan

Perubahan tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu merupakan titik bersejarah buat Malaysia.

Jelas Saifuddin, perubahan sebesar itu adalah satu perkara yang tidak dapat dibayangkan oleh ramai rakyat Malaysia.

"Ini kali pertama berlakunya perubahan sebesar ini, yakni kerajaan baru di peringkat persekutuan.

"Bagi sesetengah rakyat, ini perkara yang tidak dapat mereka imaginasikan dan kerana itu mereka masih menunggu apakah sebenarnya yang akan dilakukan," katanya.

Ada perubahan-perubahan yang telah dimulakan agak mudah difahami seperti penarikan balik senarai hitam peminjam PTPTN, pemansuhan akta GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan juga caruman Kumpulan Wang Saraan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah itu mudah difahami.

Akan tetapi, kata Saifuddin lagi, agenda reformasi yang lebih mendalam seperti pelantikan seorang anggota parlimen pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak memberi kesan yang tidak serta-merta.

Tambahnya, cadangan HARAPAN untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (Select Committee) di Parlimen untuk pelbagai bidang dan hasilnya tidak akan datang dengan cepat.

"Begitu juga dengan beberapa pendekatan baru, misalnya perundingan menjadi corner stone (asas) kepada pentadbiran kerajaan.

"Beberapa kementerian telah mengumumkan majlis perundingan masing-masing, Wisma Putra juga akan umumkan nanti majlis perundingan. Kita membawa masuk pemegang-pemegang taruh yang bukan daripada kerajaan untuk bersama-sama.

"Kesan ini untuk jangka panjang. Saya tidak terperanjat kalau sebahagian daripada rakyat masih mengatakan dia tak nampak apa-apa perubahan kerana perubahan-perubahan itu mempunyai kesan jangka panjang," jelas Saifuddin.

Berikut adalah wawancara penuh bersama Saifuddin yang turut berkongsi penilaian prestasi beliau setakat ini sebagai anggota jemaah menteri dan anggota parlimen Indera Mahkota.

Apakah penilaian tentang prestasi diri sendiri dalam 100 hari?

Pada saya, ada tiga perkara yang saya lihat. Ini saya meletakkan kad prestasi saya sendiri. Pertama, sebagai anggota parlimen Indera Mahkota, kita telah mula laksanakan sebahagian daripada janji: Saya ada lima perkara yang ingin laksanakan.

Pada 1 September nanti, saya ingin adakan majlis perundingan Indera Mahkota, seperti sebuah parlimen mini. Sebuah think-tank atau pusat pemikir tempatan yang dinamakan Akademi Indera Mahkota (AKIM) yang sedang dalam proses pendaftaran ini diadakan untuk memenuhi hasrat menjadikan Indera Mahkota kota ilmu dan budaya.

Kita akan mengumpulkan cendiakiawan tempatan dan beberapa aspek yang lain, misalnya, ada jawatankuasa yang melihat cara mewujudkan jalan pesisir pantai yang indah.

Sudah ada pasukan yang berusaha meningkatkan prestasi dan produktiviti usahawan tempatan dan sebagainya.

Sebagai menteri luar, kita dah mula meningkatkan kerjasama yang lebih erat antara agensi-agensi. Kemudian kita sudah mengorak langkah dalam beberapa pendekatan baru misalnya untuk hak asasi manusia.

Saya bertemu dengan Pakatan NGO Malaysia Di Dalam Proses UPR (COMANGO) dalam proses Penilaian Berkala Sejagat (UPR) dan kita bersetuju untuk mengadakan laporan tahunan, maknanya laporan tahunan prestasi hak asasi manusia itu akan diterajui oleh Wisma Putra kerana kita merupakan agensi utama untuk proses UPR.

Begitu juga untuk Sustainable Development Goals (SDG) atau matlamat pembangunan mapan, kita telah mulakan beberapa tugas.

Yang ketiga ialah saya sendiri. Saya sempat membaca dua buah buku dalam masa 100 hari. Matlamat saya adalah untuk membaca tiga buah buku tetapi tidak berkesempatan.

Saya harap saya dapat terus terlibat dengan perbincangan ilmiah. Sebab itu, pada saya itu adalah pembangunan peribadi.

Kalau tidak, saya rasa susah buat kerja sebagai ahli parlimen dan menteri sekiranya kita masih di takuk yang lama.

Komen terhadap kerisauan Datuk Rais Hussin tentang pemimpin-pemimpin HARAPAN sendiri yang dikatakan masih tidak memahami manifesto dan adakah rakyat sekarang memberikan minat terhadap manifesto berbanding dulu serta penyertaan rakyat dalam proses demokrasi di era Malaysia Baru ini?

Saya lihat ada tiga perkara dalam isu ini.

Yang pertama, manifesto itu saya fikir antara yang terbaik yang pernah kita wujudkan. Manifesto itu diwujudkan untuk menjadi kerajaan, bukan diwujudkan dengan suasana belum tentu jadi kerajaan.

Sebab itu, kita agak rasional dalam menggariskan 60 janji dan lima iltizam di samping 10 janji 100 hari.

Yang kedua ialah bagaimana kita menterjemah, saya rasa yang dimaksudkan oleh saudara Rais itu ialah untuk menterjemah manifesto itu menjadi dasar dan menjadi program yang betul-betul bermanfaat.

Sebab manifesto ini umumnya kenyataan utama, ia masih umum lagi, walaupun mempunyai bahagian-bahagian yang agak terperinci.

Yang ketiga dan yang paling mustahak bagi HARAPAN, sama ada di peringkat parti gabungan ataupun rakan-rakan saya dalam kabinet ialah soal disiplin.

Seminggu yang lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di majlis makan malam yang pertama kali mengumpulkan menteri, timbalan menteri, anggota parlimen dan pegawai-pegawai HARAPAN. Antara yang ditekankan ialah soal disiplin.

Disiplin dalam parti, disiplin dalam kerajaan dan disiplin dalam melunaskan kerja-kerja.

Kita dah jadi kerajaan, jadi kita harus berfikir sebagai kerajaan. Bukan bermakna bila jadi kerajaan, tiba-tiba semua benda akan berubah cara bekerja, sifat, (semua ini) tidak.

Tetapi kita jadi kerajaan, kita harus lebih hati-hati dalam ungkapan-ungkapan terutamanya apabila kita berada di khayalak kerana setiap perkataan kita, malahan perlakuan kita akan diperhatikan dengan begitu teliti.

Ada satu perkara yang menarik kali ini. Saya fikir ini satu perkembangan demokrasi yang mustahak. Kalau dulu, pemikiran rakyat ialah, mereka telah pergi ke peti undi dan elah mengundi. Mereka memberi peluang kepada kerajaan untuk mentadbir negara.

Tetapi, sekarang kesedaran politik semakin meningkat dan rakyat menyatakan mereka ingin terlibat. Inilah pendekatan demokrasi penyertaan oleh rakyat.

Mereka ingin terlibat dalam proses membuat keputusan. Jadi, jangan kata dengan mereka bahawa kita hanya akan datang balik lima tahun lagi baru mereka boleh beri pandangan tentang kerajaan.

Saya lihat semakin jelas yang sebahagian rakyat memahami bahawa dalam demokrasi, ia bukan hanya pilihan raya, tetapi juga proses penyertaan dalam membuat keputusan.

Kritikan dan cadangan mereka terutamanya secara dalam talian, pada saya tidak kelihatan dengan nyata sebelum ini. Pada saya, perubahan ini memberi nafas yang cukup baik.

Kita sebenarnya sudah mula menjadi sebuah demokrasi atau bergerak ke arah demokrasi yang lebih matang.

Lihat Komen