malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Batal ECRL sebab 'hukum' negeri pembangkang, soal MCA
Diterbitkan:  Aug 23, 2018 9:51 AM
Dikemaskini: 4:21 AM
ADS

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyoal jika pentadbiran Pakatan Harapan membatalkan pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) untuk 'menghukum' negeri-negeri di Pantai Timur yang enggan mengundi gabungan parti pemerintah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Wee juga menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum kontrak dan kajian kebolehlaksanaan projek.

Merujuk kepada sebuah video YouTube yang menunjukkan sebahagian daripada projek itu telah disiapkan, Wee berkata klip video itu menimbulkan persoalan apa yang akan terjadi jika ECRL dibatalkan.

"Ada yang tertanya-tanya jika pembatalan ini adalah satu hukuman terhadap tiga negeri yang boleh mendapat faedah daripada projek ini - iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang - kerana mereka tidak berada di bawah penguasaan kerajaan HARAPAN

"Adalah suatu yang adil bagi rakyat Malaysia diberi kesemua fakta (berkaitan ECRL) supaya kami dapat menilai diri kami jika dakwaan HARAPAN adalah benar dan jika pembatalan tiga projek tersebut merupakan keputusan yang tepat," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman Facebooknya malam tadi.

Kelantan dan Terengganu ditadbir oleh PAS manakala Pahang dikuasai BN.

Selain ECRL, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada akhir lawatannya ke Beijing mengumumkan bahawa kerajaan juga akan menangguhkan dua projek saluran paip gas (TSGP) oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER) kerana negara tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Tunjukkan dokumen

Mempertahankan penilaiannya sebelum ini bahawa lawatan Mahathir ke China "gagal", Wee meminta HARAPAN untuk mewajarkan sebab-sebab penangguhan projek.

"Saya menyeru kerajaan untuk menunjukkan kepada kami (mengesahkan dokumen jika perlu) kajian keboleklaksanaan, analisis kos serta manfaat dan kajian impak ekonomi yang dilakukan untuk ketiga-tiga projek yang dibatalkan itu.

"(Dan) tunjukkan kepada kami (mengesahkan dokumen jika perlu) kontrak untuk ketiga-tiga projek termasuk klausa penamatan dan pampasan," katanya.

Mahathir sebelum ini meramalkan bahawa Malaysia perlu membayar pampasan yang tinggi kerana membatalkan projek itu dan menyalahkan pentadbiran BN terdahulu kerana bertindak "paling bodoh dalam sejarah" apabila bersetuju dengan perjanjian tersebut.

Perdana menteri juga mengkritik BN kerana bersetuju untuk membayar kontraktor projek mega ini, kedua-duanya syarikat China, berdasarkan tempoh waktu dan bukannya kerja yang dilakukan.

Adakah syarikat China lakukan rasuah?

Wee, yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam, meminta bukti salah laku.

"Mengenai dua projek saluran paip gas (SSER) dan syarat-syarat bayaran pendahuluan yang tidak adil, tunjukkan kami bukti bahawa kontraktor, (China Petroleum Pipeline Bureau - CPPB), yang merupakan syarikat keempat terbesar di dunia, tidak akan menyelesaikan dua saluran paip dalam tempoh tiga tahun yang telah dipersetujui itu.

"Beritahu kami jika kerajaan HARAPAN berpendirian (kontraktor ECRL iaitu China Communications Construction Company - CCCC) dan CPPB, yang merupakan syarikat milik kerajaan China dan antara yang terbesar di dunia itu, telah melakukan amalan rasuah dalam memperdaya dan menipu Malaysia," katanya.

Wee berkata jika perlu, beliau turut menyarankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai ketiga-tiga projek mega yang dipersoalkan itu.

Lihat Komen