malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Kita tak cukup kuat nak damai perang dagang bodoh AS-China'
Diterbitkan:  Aug 23, 2018 10:00 AM
Dikemaskini: 4:20 AM
ADS

Perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China mencetuskan kebimbangan kemelesetan ekonomi global tetapi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin terdapat peluang yang dapat dimanfaatkan.

Dalam wawancara bersama ThaiPBS yang menyentuh isu-isu antarabangsa, Dr Mahathir sedar perang dagang itu akan memberi kesan buruk kepada Malaysia namun beliau juga maklum terhadap kelebihannya.

"Terdapat juga faedah tertentu kerana kehilangan pasaran China oleh Amerika Syarikat bermakna beberapa peluang kepada kami.

"Ketidakupayaan Amerika Syarikat untuk menggunakan China sebagai pangkalan pembuatan juga boleh menyebabkan mereka beralih ke negara lain termasuk Malaysia," katanya dalam temu bual itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata Malaysia dan rakan-rakan Aseannya juga perlu menghadapi kesan negatif dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Kami tidak cukup kuat untuk memberitahu sama ada China atau Amerika Syarikat untuk menghentikan perang perdagangan yang bodoh ini. (Perang dagang) ini tidak akan memberi manfaat kepada mereka.

"Kami perlu mencari jalan untuk menyesuaikan akibat perang perdagangan tersebut di rantau ini, supaya ekonomi kami tidak terjejas teruk," katanya.

Mahathir menamatkan lawatan lima hari ke China pada hari Selasa lalu. Selain daripada membincangkan penangguhan projek mega yang dibiayai oleh China, beliau berusaha menarik pelaburan China.

China antara lain bersetuju untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia.

Ini di tengah-tengah pendirian tegas yang diambil oleh Kesatuan Eropah terhadap minyak kelapa sawit Malaysia mengenai kebimbangan alam sekitar. Disamping itu juga ia disebabkan China berpaling daripada eksport Amerika kerana perang perdagangan tersebut.

Mahathir juga menyatakan bahawa Malaysia akan meneruskan perjanjian Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang ditandatangani oleh kerajaan BN sebelum ini.

Beliau berkata apabila Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian itu, kebimbangan mengenai syarikat korporat menyaman negara-negara semakin berkurangan.

"Tiada penguasaan AS yang lebih besar kepada negara-negara lain (dengan penarikan diri AS).

"Kami juga mendapati bahawa kerajaan negara ini yang terdahulu telah menandatangani menjadi anggotanya.

"Kami tidak boleh menarik balik tanpa menjejaskan kredibiliti, jadi kami perlu meneruskan TPP," katanya.

China besar, kuat, kaya

Mahathir juga berkata pentadbirannya turut berhasrat meneruskan perjanjian perdagangan alternatif yang diusahakan China, iaitu Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).

"Kami fikir kami perlu meneruskannya kerana kami tidak boleh mengecualikan China.

"Anda mungkin tidak menyukai China tetapi hakikatnya ia telah wujud di sana dan China ialah sebuah negara yang besar - yang sangat kuat dan sangat kaya.

"Anda tidak boleh mengabaikan China, anda perlu mengambil kira China jadi sebarang persefahaman dengan China sangat baik," katanya.

Lihat Komen