malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim dedah RM16 bilion gagal dibayar kepada pembayar cukai
Diterbitkan:  Aug 22, 2018 2:32 PM
Dikemaskini: 6:42 AM
ADS

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan bahawa kerajaan BN sebelum ini gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sejak enam tahun dahulu.

Katanya, wang terhutang oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) itu melibatkan sebanyak 1,65 juta kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

“Selain daripada tunggakan bayaran balik cukai input GST, kerajaan dahulu juga tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei lalu,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, beliau mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak lebih RM19 bilion tidak dikembalikan di bawah pentadbiran terdahulu.

Jelasnya, baki tunggakan yang sebegini besar adalah disebabkan oleh kekurangan
penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun
amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut.

"Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei lalu hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar,” katanya.

Dengan kata lain, menurut Lim masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei lalu yang menyebabkan 1.6 juta pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih enam tahun dahulu.

“Adalah jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telahpun dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.

“Ini bermakna hasil kerajaan persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama (BN) sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor,” katanya.

Lim berkata tunggakan besar bayaran balik baki kredit itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDNM.

“Seperti penjelasan saya sebelum ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan, kata Lim.

Untuk meringankan bebanan pembayar cukai, Lim berkata kerajaan baru Pakatan Harapan telah bersetuju untuk membenarkan mereka yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDNM membuat permohonan set-off sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

“Permohonan set-off ini hendaklah dikemukakan kepada LHDNM untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya. Di samping itu, bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.

Lihat Komen