malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Korupsi di bawah pentadbiran BN lalu bukan sahaja memuakkan, malah sudah mencapai tahap yang tidak munasabah.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak korupsi seolah-olah sudah menjadi darah daging mereka.

Anehnya, Umno dan PAS masih bersikap 'keras kepala'.

Datuk Bung Mokhtar dari Kinabatangan Sabah terus berdegil dengan mengatakan harta yang dirampas oleh polis dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu merupakan dana Umno.

Logiknya, sekiranya Umno dan PAS membuka sebuah kasino di Cayman Island tanpa pengetahuan orang ramai, maka wang itu sah boleh  dijadikan dana politik.

PAS pula masih tidak berani menegur Najib Razak atau 1MDB.

Peliknya PAS melalui Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan gred D terhadap pencapaian 100 Hari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Khairy Jamaluddin, anggota parlimen Rembau yang berasal dari Negeri Sembilan pula mengatakan rakan-rakannya dalam Umno kurang peka terhadap keperluan parti itu direformasikan.

Pembantu politik Najib Razak, Isham Jalil lalu mendakwa bekas ketua pemuda Umno itu sudah 'berpaling tadah'.

Menurut Isham yang memiliki ijazah dari Harvard dan Wharton Business School itu, hati sebenar Khairy Jamaluddin sudah berada pada Pakatan Harapan, walaupun keahliannya masih Umno.

Wharton Business School ini sekolah lama Low Taek Jow, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang kini menjadi pelarian.

Anehnya, ketika Malaysia menghadapi krisis hutang negara yang telah mencecah RM1 trilion, mengapa penyokong parti pembangkang harus menaruh harapan kepada parti mereka?

Parti seperti Umno dan PAS sudah menjadi toksik. Kalau ada segelintir ahli yang masih taasub kepada parti-parti tersebut, maka ia bolehlah dikategorikan sebagai jahil.

Jahil tidak bermakna mereka tidak boleh berfikir. Pola pemikiran mereka masih berfungsi, tetapi percaturan mereka sudah tidak lagi berprinsip.

Najib dan Jho Low rupa-rupanya 'guru' kepada Umno dan PAS. Beginilah mentaliti, serta gelagat sebenar Umno dan PAS yang sudah hilang pedoman.

Tidak cukup sekadar berpura-pura meminta maaf seperti mantan Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz, yang kini ingin menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad pula.

Nasib bumiputera dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya diletakkan dalam kerangka agama dan bangsa semata-mata.

Ia mestilah berpaksi kepada kesederhanaan al-Quran dan Sunnah, serta perlembagaan Malaysia yang turut diperkasakan melalui Perjanjian Malaysia 1963.

Apa yang penting ialah hati sanubari setiap orang menyelamatkan Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Itulah namanya fisabilillah, atau dalam Bahasa Inggeris disebut "struggle in the way of God."

Tidak pasti adakah PAS atau Umno memahami konsep tersebut kerana mereka sudah terjerat dalam kandang 'politik wang'.


PHAR KIM BENG ialah sarjana tamu di Waseda University, Tokyo yang sedang menulis buku mengenai komuniti Asia Timur. Beliau juga bekas penyelidik kanan di City University of Hong Kong.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen