malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Majlis Penasihat: Tak bijak untuk mansuh tol sekarang
ADS

Pemansuhan tol secara keseluruhan pada masa ini bukan langkah bijak jika mengambil kira kedudukan kewangan negara, kata Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Pengerusinya Tun Daim Zainuddin berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang rancangan itu yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Ada banyak cadangan (oleh pemegang konsesi) yang dihantar kepada kami, malah ada (cadangan) yang tidak lengkap.

"Kami (CEP) juga menghantar syor kami. Ideanya adalah untuk mansuh tol secara keseluruhan, dan dalam keadaan kewangan sekarang, ia bukan langkah bijak," katanya merujuk hutang RM1 trilion yang ditanggung negara buat masa ini.

"Saya rasa rakyat faham," katanya lagi ketika sidang media CEP di Kuala Lumpur petang tadi.

Ia diadakan untuk mengumumkan berakhirnya mandat 100 hari CEP sebagai penasihat kerajaan dalam soal kewangan dan tadbir urus.

Pemansuhan tol memang terkandung dalam manifesto HARAPAN tetapi ia tidak termasuk dalam sepuluh janji 100 hari gabungan itu.

Berhubung rancangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan satu lagi kereta nasional, Dam berkata Mahathir mahu menyiapkan negara agar menjadi kompetitif dalam pasaran global di masa depan.

Untuk itu, katanya lagi, industri pembuatan akan memberikan kemahiran yang sesuai untuk menjadikan Malaysia bersaing pada masa akan datang.

"Kami dapati apa yang kami perlukan adalah sektor automotif, yang menggunakan 700,000 pekerja pada masa ini. Tetapi kita perlu meningkatkan kemahiran kita.

"Jadi kita keluarkan komponen (automotif) dahulu, ini penting agar kita boleh eksport dan bekalkan kepada industri.

"Dan kita tingkatkan sehingga masanya kita berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan, bukan kereta Malaysia, tetapi kereta Asean, di mana pelaburan datang daripada sektor swasta, bukannya kerajaan. Itulah pemahaman saya," katanya.

Mahathir dilaporkan berkata kerajaan sedang merancang untuk membina kereta nasional ketiga, selepas Proton dan Perodua. MEi tahun lalu, PRoton memeterai kerjasama strategik dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group.

Lihat Komen