malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tadbir urus kementerian kewangan zaman BN paling perlu ditambah baik'
ADS

Kementerian Kewangan ketika pentadbiran BN menduduki kedudukan pertama dalam senarai badan kerajaan yang perlu ditambah baik dari segi tadbir urus, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata ia berdasarkan dapatan majlis itu sepanjang 100 hari pentadbiran kerajaan baru.

"Nombor satu adalah kementerian kewangan. Ia mesti membawa masuk wang, hasil kepada negara dan pastikan perbelanjaan tidak membazir.

"Dan tidak boleh ada korupsi," katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur petang ini.

Kementerian itu kini dijaga Lim Guan Eng yang mewarisinya daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menjawab soalan Malaysiakini berhubung tiga agensi kerajaan atau sektor yang paling memerlukan penambahbaikan dari segi tadbir urus.

Daim sendiri pernah menjadi menteri kewangan sebanyak dua kali, iaitu pada 1984-1991 dan 1999-2001.

"Dan jangan politikkan perkhidmatan awam," katanya lagi tanpa mengulas lanjut.

Sidang media hari ini turut disertai anggota CEP lain bagi mengumumkan tamatnya mandat mereka sejak semalam.

Dalam sidang media itu, Daim berkata mereka memberi syor kepada perdana menteri dalam tiga kategori utama.

Syor tersebut adalah keperluan untuk menambah baik tadbir urus, menambah baik kehidupan rakyat, serta mengembangkan ekonomi mapan untuk negara.

CEP berperanan memberi nasihat kepada kerajaan dalam soal kewangan dan tadbir urus.

Ditubuhkan pada 12 Mei lalu - dua hari selepa Mahathir mengangkat sumpah selaku perdana menteri ketujuh - CEP dianggotai lima anggota utama.

Selain Daim sendiri, mereka adalah bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas pengerusi Petronas Tan Sri Hassan Marican, ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan hartawan Tan Sri Robert Kuok.

Nota editor:

CEP hari ini menjelaskan apa yang dimaksudkan adalah kementerian kewangan ketika pentadbiran BN dahulu, bukannya bawah Pakatan Harapan sekarang.

Lihat Komen