malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Senator BN: SST diluluskan sebab k'jaan perlu pendapatan
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 11:02 AM
ADS

PARLIMEN | Senator Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk mengundi bagi meluluskan Rang Undang-Undang Jualan 2018 bagi mengelakkan kelewatan dalam usaha kerajaan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Senator Khairul Azwan Harun.

Bercakap pada sidang akhbar di parlimen, Khairul Azwan berkata semua senator BN sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memerlukan pendapatan untuk menjalankan pentadbirannya.

"Kita sedar kita tidak mahu menganggu kerajaan dalam soal mengutip pendapatan negara. Kita tahu negara memerlukan pendapatan untuk meneruskan segala macam pentadbiran yang ada, maka saya lihat hari ini senator semua melepaskan dan mengizinkan RUU ini diterima di Dewan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Dewan Negara yang dikuasai BN hari ini meluluskan salah satu daripada lima RUU yang membolehkan SST dilaksanakan pada 1 Sept.

Khairul Azwan, berkata sekiranya senator BN tidak menyatakan sokongan sekalipun, kerajaan masih boleh membawa RUU berkenaan  kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan persetujuan baginda walaupun tanpa mendapat kelulusan Dewan Negara.

Pada masa ini, seramai 32 senator mewakili BN manakala PAS pula tiga orang daripada keseluruhan 55 anggota Dewan Negara.

Empat lagi RUU yang dibentangkan kerajaan hari ini adalah RUU Cukai Perkhidmatan 2018, RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Lihat Komen