malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB: Dari segi moral, Halimah perlu letak jawatan
ADS

PRK SERI SETIA | Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Dr Halimah Ali, calon PAS bagi PRK Seri Setia, perlu meletakkan jawatan yang masih dipegang dalam kerajaan negeri.

"Secara asas moral, dia kena letak jawatan. Kalau dia nak letak (jawatan) esok boleh, lusa pun boleh, sehinggalah saya buat keputusan," katanya ketika ditemui pemberita dalam satu program di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Halimah adalah exco kerajaan negeri pada penggal 2008-2013 namun tidak terpilih semula selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi menteri besar pada 2014.

Beliau bagaimanapun kekal sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sehingga kini.

Penolong Setiausaha Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman hari ini mendesaknya melepaskan jawatan itu kerana "menentang kerajaan negeri" dengan menjadi calon pembangkang di PRK Seri Setia.

Bagi pihaknya, kata Amirudin, kedudukan Halimah akan diputuskan apabila beliau mula meneliti dan menstruktur semula agensi dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Fokus kini pada belanjawan (negeri) jadi proses meneliti dan menstruktur semula itu belum dilaksanakan, (akan bermula) secepat mungkin.

"Mungkin akan dibuat dari masa ke masa dan kita akan putuskan kedudukan Halimah (jika belum letak jawatan)," katanya (gambar) lagi.

Halimah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah PPAS pada 2017. Ketika itu PAS kekal sebahagian kerajaan negeri walaupun sudah tidak bersama Pakatan Harapan.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi DUN Selat Kelang yang dimenanginya sejak 2008, pada PRU ke-14.

Terima teguran BERSIH

Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau menyambut baik teguran BERSIH terhadap kerajaan negeri berhubung kesalahan yang dilakukan pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini.

BERSIH antara lain berkata HARAPAN mengadakan dua program pemeriksaan percuma serta lima kesalahan menggunakan aset kerajaan.

NGO itu juga menamakan Amirudin sendiri sebagai antara yang terlibat dalam perkara itu.

"Mungkin ada yang secara tak sengaja. Misalnya majlis makan malam melibatkan calon, tetapi ada pihak lain yang mahu meraikan dengan memberikan sumbangan. Ini mungkin kita tak dapat elakkan.

"Insya-Allah kita akan cuba elakkan (daripada berulang) bagi mengelakkan persepsi tidak baik," katanya lagi.

Lihat Komen