malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA P Pinang berkabung HARAPAN gagal tunai janji 100 hari
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 3:32 PM
Dikemaskini: 7:35 AM
ADS

MCA Pulau Pinang mengadakan acara pengkebumian olok-olok bagi 'berkabung' atas pemergian 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan.

Dengan berpakaian serba hitam, pengerusi sepuluh Bahagian MCA di negeri itu berkumpul pada malam Sabtu lalu dan menyalakan lilin sebagai tanda kegagalan HARAPAN menunaikan kebanyakan janji 100 hari mereka.

Pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Chuan Hong berkata HARAPAN telah mengecewakan pengundi mereka, khususnya dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

"Kepada rakyat, jelas bahawa tiada harapan untuk kerajaan baru ini," katanya sambil berkata perjuangan untuk pengiktirafan UEC kini menjadi lebih sukar.

"Kami menjangka dalam masa lima tahun janji ini akan semakin sukar untuk dipenuhi, dan ia akan menyusahkan pengundi Cina yang memilih mereka pada PRU ke-14," katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Pendidikan Maszlee Malik bahawa isu UEC akan dikaji secara teliti dan keputusan akan dibuat dalam masa lima tahun.

Beliau berkata HARAPAN juga memungkiri janji untuk memberi dana bagi pembangunan dan pengurusan sekolah Cina.

"Menteri pendidikan kata HARAPAN tidak boleh memberi dana kepada pengurusan sekolah persendirian, dan hanya peruntukkan wang untuk pembangunan.

"Tetapi Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sekolah persendirian akan diperuntukkan dana secara sistematik selepas pertukaran kerajaan.

"Mengapa sehingga sekarang DAP tidak cukup tegas untuk menekan kerajaan HARAPAN dalam soal ini?" soalnya.

Berdasarkan manifesto HARAPAN, pengiktirafan UEC tidak termasuk dalam janji 100 hariny, sebaliknya sebahagian daripada perancangan lima tahun.

Maszlee semalam mempertahankan rekodnya dengan berkata kementeriannya telah melaksanakan 43 inisiatif pendidikan dalam masa 100 hari.

Ia termasuk membuang nama peminjam PTPTM dalam senarai hitam Jabatan Imigresen, pemberian lebih autonomi kepada institut pengajian tinggi dan setuju untuk membina enam sekolah jenis kebangsaan Cina baru.

Lihat Komen