malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tugas bina bangsa Malaysia di bahu generasi baru
ADS

ULASAN | Sudah lebih 100 hari menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Malaysia Baru diuji dengan pelbagai cabaran dan desakan, khususnya dalam isu yang berkait rapat dengan politik identiti.

Terbaru, saya terbaca nukilan S Thayaparan, kolumnis di Malaysiakini dan juga bekas komander Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau menyatakan sikap skeptik terhadap idea Bangsa Malaysia yang dilontarkan oleh Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan, dalam media yang sama.

Sebenarnya, idea bangsa Malaysia telah lama diperjuangkan oleh negarawan-negarawan kita termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menggariskan idea bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020, di mana matlamat yang pertama dari sembilan matlamat Wawasan 2020 mengandungi hasrat untuk mewujudkan negara Malaysia yang “terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”

Saya bersetuju dengan bekas komander S Thayaparan bahawa kaum tetap merupakan satu bentuk identiti yang penting dalam Malaysia.

Akan tetapi, dalam Malaysia Baru, kita tidak perlu terus berpaksikan kaum dalam landasan politik kita. Malah, idea bangsa Malaysia tidak menidakkan identiti kaum kita, tetapi mengajak kita untuk turut mengangkat identiti bersama kita semua, iaitu identiti yang kita semua kongsi, iaitu sebagai warganegara Malaysia.

Soal-soal tentang bangsa, agama dan negara kian hangat meliputi perbincangan di media arus perdana dan juga media sosial.

Kepada anak muda dan juga Pemuda Pakatan Harapan  (HARAPAN) khususnya, kita perlu ada pendekatan yang proaktif dalam menangani hal ini.

Bukannya hanya apabila isu dah hangat baru kita mahu fikir bagaimana hendak menangani dan memadam api sedang bakar.

Justeru, saya berpendapat gagasan idea bangsa Malaysia ini harus diangkat semula dan disebarkan sebagai counter politik identiti yang terlalu terkongkong dengan perkauman yang melampau.

Anak muda sebagai generasi baru dalam Malaysia Baru wajar melangkah paling ke hadapan untuk menggerakkan usaha pembinaan bangsa Malaysia.

Kita telah berjaya menumbangkan rejim yang wujud dan berfungsi menggunakan kaum sebagai asas politiknya.

Parti Melayu jaga kaum Melayu, parti Cina jaga Cina, parti India jaga India. Malaysia Baru tidak perlukan lagi politik sempit sebegini.

Bukan sahaja politik berasaskan kaum menjejaskan usaha membina bangsa Malaysia dan memupuk persefahaman dan kerjasama kaum, malah sebenarnya politik kaum ini telah meninggalkan kepentingan kaum minoriti seperti Orang Asal yang berpuluh-puluh kumpulan etniknya tetapi tidak diwakili di parlimen kita.

Tidak praktikal jika puluhan etnik minoriti tersebut perlu menubuhkan parti politik kaum mereka sendiri untuk memperjuangkan isu dan kebajikan mereka.

Sebaliknya, apa yang Malaysia Baru perlukan ialah politik yang mengangkat semua kaum dan kepentingan bersama. Untuk mencapai ini, anak mudalah yang patut menjadi teras pembinaan bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia dan politik identiti

Apa itu bangsa Malaysia? Amat malang sekali kita masih bertanya soalan ini setelah lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan.

Jelas usaha membina bangsa Malaysia oleh rejim yang lama tidak mencapai matlamatnya. Politik kompromi dan perwakilan elit (elite representation) tidak menyelesaikan minda tertawan yang sentiasa melihat segala isu dari lensa perkauman.

Kita kurang menghayati dan menumpukan usaha membina sebuah gagasan bangsa Malaysia, seperti yang pernah disebut oleh Allahyarham Rustam Sani, Malaysia ini seolah-olah seperti “just a state without nation - or at least, a state with several competing nations."

Bangsa Malaysia adalah sebuah identiti bangsa yang berasaskan kenegaraan. Ini tidak bermaksud kita menidakkan identiti kaum kita.

Jadilah Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Dusun – dan rasa bangga dengan identiti kaum kita yang mempunyai sejarah dan budayanya yang tersendiri.

Dengan adanya bangsa Malaysia, kita melangkah ke hadapan dengan mengangkat identiti dan kesetiaan kita kepada Kenegaraan.

Kita mengutamakan kepentingan negara (the nation comes first) dan memupuk satu persefahaman antara semua masyarakat Malaysia bahawa tidak kira kaum, agama, kaya, miskin, semua rakyat jelata mempunyai satu persamaan yang teras, iaitu kita semua adalah sebahagian dari sebuah kolektif yang namanya bangsa Malaysia.

Pembinaan bangsa Malaysia ini pernah disebut oleh Datuk Dr Siddiq Fadzil sebagai “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.”

Keragaman budaya tidak menjadi halangan andainya diletakkan dalam bingkai kesatuan. Menurutnya, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah) diaplikasikan oleh Rasulullah S.A.W. dalam pembinaan ummah negara Madinah.

Perlembagaan ulung Sahifah Madinah, sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya, memberi kewarganegaraan penuh kepada masyarakat Yahudi sekalipun (bukan warganegara kelas kedua) dan menetapkan hak dan tanggungjawab bersama.

Peranan anak muda

Anak muda patut menyahut usaha pembinaan Bangsa Malaysia. Anak mudalah yang paling ke hadapan dalam menjayakan usaha membina kenegaraan (nation-building) dan mempertahankan bangsa Malaysia.

Kita maklum dengan tindak-tanduk sesetengah pihak yang gemar menggunakan soal kaum dan agama untuk memecah-belahkan rakyat.

Peranan anak muda adalah menolak politik perkauman yang sempit. Anak muda jugalah yang perlu membuktikan bahawa agama, terutamanya Islam, adalah agama yang membawa rahmat kepada masyarakat Malaysia.

Bukan sahaja agama bukan penghalang, malah sekiranya kita menonjolkan teladan yang baik, ia boleh menjadi agen penyatu bangsa Malaysia.

Anak muda, jangan kita terikat lagi dengan mentaliti yang hidup dalam penjara masa lampau. Tidak cukup sekadar kita menukar kerajaan.

Perubahan yang menyeluruh memerlukan kita mereformasikan jiwa dan minda baharu. Marilah kita hapuskan dan tinggalkan rasisme dalam amalan (praktis) kita – sama ada dalam politik ataupun kehidupan seharian dan pergaulan sosial kita. Marilah kita mencipta budaya politik baru, membina jambatan bersama dan menjadi benteng Bangsa Malaysia

Untuk mengungkap kata-kata Ralph Waldo Emerson, kejayaan adalah untuk meninggalkan dunia dalam keadaan yang lebih baik, sama ada kita telah membantu seseorang dalam kesusahan, mendamaikan dan menyatukan masyarakat yang berpecah-belah, membina jambatan antara mereka yang berkonflik, membina sebuah bangsa Malaysia yang merentasi keragaman, walaupun satu kehidupan telah menghembuskan nafas lebih mudah kerana usaha kita - itulah cabaran yang perlu dijayakan oleh anak muda generasi Malaysia Baru.


Ahmad Al-Farooqi Bin Haja Mohideen merupakan graduan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa dan kini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada EXCO kerajaan Pulau Pinang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen