malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kontrak Ali Hamsa disambung k'jaan dulu hingga 2020
ADS

EKSKLUSIF | Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa tidak mungkin bersara bulan ini seperti yang didakwa beberapa laporan berita kerana kontrak beliau telah disambung pentadbiran terdahulu pada bulan Mac lalu.

Sumber memberitahu Malaysiakini, tempoh perkhidmatan Ali yang akan berakhir apabila beliau menjangkau usia 63 tahun pada 29 Ogos ini telah disambung kontraknya selama dua tahun, justeru itu beliau hanya bersara pada Ogos 2020.

"Suatu amalan biasa dalam kerajaan untuk menyemak kontrak pegawainya enam bulan sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir.

"Keputusan untuk memperbaharui kontraknya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan surat itu telah diserahkan kepada beliau pada Mac (2018)," kata pegawai kanan kerajaan itu.

Satu lagi sumber yang rapat dengan Jabatan Perdana Menteri berkata laporan berita mengenai persaraan Ali bulan ini tidak tepat kerana ia tidak melihat penyambungan kontrak berkenaan.

"Mungkin, mereka tidak tahu hal ini kerana tidak ramai pegawai di Jabatan Perdana Menteri dapat maklumat ini," kata pegawai itu.

Hak perdana menteri

Bagaimanapun, sumber menjelaskan meski kontrak Ali telah disambung, ia menjadi hak perdana menteri untuk meneruskan perkhidmatan beliau atau menamatkannya.

"Perdana menteri boleh memutuskan untuk menyambung atau memendekkan kontrak itu. Namun demikian, setakat ini, kami belum mendengar sebarang perkataan daripada Tun (Dr Mahathir Mohamad) mengenai perkara ini," katanya lagi.

Ali dilantik menjadi KSN pada Jun 2012. Beliau mencapai usia persaraan 60 tahun pada 2015, apabila kerajaan persekutuan menyambung kontrak khidmatnya selama tiga tahun.

Sumber mendakwa menteri kabinet HARAPAN mula menyukai Ali dalam tiga bulan pentadbiran gabungan itu di Putrajaya.

Mereka berkata Ali bekerjasama dengan pentadbiran baru dan beberapa menteri meminta nasihat beliau untuk menguruskan kementerian masing-masing.

Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei lalu menggugurkan beberapa pegawai kerajaan sebaik memegang jawatan itu.

Antara mereka yang kontraknya dipendekkan ialah bekas ketua setiausaha perbendahaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Manakala bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad pula meletakkan jawatannya.

Ali disebut-sebut berada dalam senarai pegawai kerajaan yang akan ditamatkan. Menurut laporan The Star pada 17 Ogos, Ali enggan mengulas laporan penamatan kontraknya itu.

Lihat Komen