malaysiakini logo
story-image
ADS

100 HARI | Menteri dan timbalan menteri perlu meluangkan masa untuk membaca Buku Harapan iaitu manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU, Datuk Rais Hussin Mohamed.

"Ini hanya satu pemerhatian tetapi menteri dan timbalan menteri pun tak baca manifesto.

"Jadi permintaan pertama saya adalah orang yang sepatutnya menunaikan apa yang dijanjikan mesti membacanya," katanya yang juga pengerusi jawatankuasa manifesto HARAPAN ketika wawancara bersama Malaysiakini sempena 100 hari pentadbiran HARAPAN.

Rais berkata begitu juga dengan ketua setiausaha dan pegawai tinggi kerajaan.

"Semua pelaksana, mereka juga perlu baca manifesto - penting kerana ini dasar dan perkara utama dalam pentadbiran HARAPAN. Justeru mereka patut tahu," katanya lagi.

Manifesto HARAPAN mengandungi 10 janji untuk 100 hari. Tetapi bagi jangka panjang ia merangkumi 60 perkara yang ingin dilaksanakan HARAPAN.

Bagaimanapun kerajaan hanya mampu memenuhi dua daripada 10 janji itu, iaitu pemansuhan GST dan penilaian semula projek-projek mega.

Rais menegaskan ia bukanlah bermakna kerajaan mungkir janji kerana para menteri bekerja keras untuk menunaikannya walaupun dengan tempoh yang sedikit lama.

Beliau berkata manifesto itu dirangka berdasarkan maklumat awam tanpa butiran yang baru diketahui HARAPAN selepas menjadi kerajaan, terutama berkenaan kadar hutang negara.

"Tetapi kita percaya dengan sedikit masa dan penentukuran dalam rancangan kita, semua janji ini dapat dipenuhi," katanya.

Beliau lebih percaya dalam mencari penyelesaian berbanding memberi alasan bagi mengabsahkan kegagalan menunaikan janji.

'Dulu orang tak peduli'

Rais berkata lagi, hakikat bahawa manifesto HARAPAN hangat diperkatakan - hampir saban hari - selepas PRU ke-14 sendiri adalah satu bentuk kejayaan.

"Dalam 13 PRU lalu, manifesto hanya dibincangkan sebelum PRU dan tidak selepas.

"Tetapi selepas PRU ke-14, semua orang bercakap tentangnya setiap hari.

"Ada keghairahan baru dalam penyertaan demokratik...orang ramai menjadi semakin peka," katanya.

Beliau juga ditanya tentang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba 'mengecilkan' manifesto itu, antaranya apabila berkata "ia bukan kitab suci" dan "terlalu tebal".

"Jika seseorang itu berkata ia bukan kitab suci, saya serahkan kepada dia sendiri. Mungkin ia bagi membina naratif untuk mengurangkan tekanan kepada menteri.

"Dalam menguruskan negara, and tidak boleh merangka manifesto yang nipis. Ia perlu tebal, terutama apabila merangkumi semua lapisan masyarakat.

"Apa yang penting adalah apa kandungannya. Kita tidak patut tumpu kepada alasan tetapi bagaimana untuk melaksanakannya."

Pada 14 Mei lalu beliau berkata jawatankuasa pemantauan manifesto akan ditubuhkan. Menurut Rais, beliau memang ada membangkitkan perkara itu kepada kerajaan.

'Adili kami dalam masa lima tahun'

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa dalam kabinet dan ia dipengerusikan Mahathir sendiri.

"Jika saya perdana menteri, saya akan panggil orang luar untuk melakukan audit (kepada manifesto) kerana ia akan memberi perspektif yang berkecuali - anda tak boleh audit kerja sendiri.

"Tapi (Mahathir) merasakan wajar agar ia diadakan di peringkat kabinet - untuk menunjukkan signifikannya," katanya lagi.

Rais berkata janji-janji dalam manifesto tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, tetapi melalui proses yang ketat.

Menurutnya, ia hasil daripada rundingan awam, parti dan firma penyelidikan sebelum diluluskan oleh kepimpinan setiap parti komponen dan juga majlis presiden HARAPAN.

"Saya rasa dengan kemampuan menteri yang kita ada sekarang, bawa kepimpinan Mahathir dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang berkebolehan, ia boleh dilakukan.

"Jika kita siap untuk memberi tumpuan kepada menunaikan janji dan bukan menjadi defensif, ia lebih baik untuk kita.

"Akhirnya, di penghujung tahun kelima (pentadbiran HARAPAN), nilailah kami. (Ketika itu) Kami sepatutnya mampu menunaikan hampir kesemuanya," katanya lagi.

Wawancara oleh NIGEL AW, NORMAN GOH and ZIKRI KAMARULZAMAN.

Lihat Komen