malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes bunuh Jong Nam: Mahkamah perintah tertuduh bela diri
ADS

Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam pada tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin semasa menyampaikan keputusan itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azmi berkata beliau telah mengambil langkah untuk meneliti semula keterangan secara objektif dan berpendapat kes pihak pendakwaan daripada semua sudut khususnya perilaku saksi pihak pendakwaan pada perbicaraan.

"Saya juga secara terperinci menimbangkan hujahan kukuh dibentangkan di hadapan saya oleh peguam yang bijaksana dan timbalan pendakwa raya yang bijaksana.

“Cukup untuk saya katakan pada akhir kes pihak pendakwaan, saya telah membuat penilaian maksimum keterangan yang diberikan dan saya mendapati seluruh keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada peringkat ini adalah berwibawa untuk diterima dengan selamat oleh mahkamah.

"Atas alasan-alasan yang saya sebutkan itu, saya berpuas hati semua intipati dalam pertuduhan terhadap tertuduh yang perlu dibuktikan telah dibuktikan.

"Saya dengan ini mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Saya dengan itu memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan masing-masing,” katanya yang menyampaikan penghakimannya selama dua setengah jam bermula 10 pagi.

'Konspirasi terancang'

Hakim Azmi berkata daripada keterangan dikemukakan di mahkamah, dapat dikatakan wujud konspirasi terancang antara kedua-dua wanita itu dan empat suspek warga Korea Utara yang masih bebas untuk membunuh Kim Chol.

"Saya tidak menolak kemungkinan ini adalah pembunuhan politik. Namun di sebalik itu saya masih tidak dapat mengesahkan fakta itu.

"Walaupun keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dalam bentuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wujud perancangan rapi dilakukan empat warga Korea Utara itu,” katanya.

Di samping itu, hakim itu berkata kewujudan niat bersama turut dibuktikan dan dua wanita itu adalah pelakunya.

Siti Aisyah dan Doan didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb, 2017.

Hakim Azmi berkata selepas menimbangkan tingkah laku empat lelaki warga Korea Utara itu sebelum dan selepas jenayah itu dilakukan, dapat disimpulkan bahawa empat lelaki itu memainkan peranan penting sepanjang proses pembunuhan itu.

"Berdasarkan rakaman CCTV, dapat dilihat empat lelaki itu berada di tempat kejadian tetapi apa yang mereka buat di situ? Mereka hanya antara orang ramai yang berada di situ tetapi mereka memainkan peranan dan mereka adalah sebahagian daripada rangkaian yang membawa kepada pembunuhan si mati walaupun mereka tidak menyentuh pun si mati.

"Tidak disangsikan tertuduh berada di situ semasa kejadian berlaku. Corak serangan itu hampir serupa dan dilakukan dengan jayanya. Kemudian selepas serangan itu, mereka berpisah dengan pergi ke tempat berbeza… persoalannya adalah kenapa mereka mahu pergi ke tingkat berbeza untuk mencuci tangan mereka… jawapan saya adalah sekiranya mangsa melihat mereka, mereka berisiko ditangkap.

"Melihat kepada riak wajah kedua-dua tertuduh, pada saya mereka kelihatan tertekan. Wajah mereka menggambarkan kelakuan mencurigakan. Mereka mungkin ada sebab untuk berkelakuan sebegitu,” katanya.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah dan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan berkata anak guam masing-masing akan memberikan keterangan bela diri secara bersumpah dari tempat duduk saksi.

- Bernama

Lihat Komen