malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Semua agensi bumiputera mesti bawah satu kementerian'
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 5:04 PM
Dikemaskini: 9:06 AM
ADS

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap seluruh agensi berkepentingan Bumiputera dapat diletakkan bawah satu kementerian, seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Langkah ini dilihat lebih sesuai untuk kerajaan meneruskan inisiatif meningkatkan agenda bumiputera di masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman.

Kenyataan itu dibuat selepas dakwaan MARA telah dipecahkan bawah beberapa kementerian dinafikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata dakwaan itu merupakan niat jahat yang cuba ditimbulkan untuk menimbulkan keresahan masyarakat.

Katanya, Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 yang dibahaskan di peringkat dasar kelmarin jelas menunjukkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara bawah kementeriannya.

Dakwaan itu pada mulanya ditimbulkan anggota parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan yang pernah menjadi timbalan menteri kewangan di era pentadbiran BN sebelum ini.

Sementara itu, MTEN dalam kenyataan hari ini berkata mereka amat menghargai keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meletakkan keseluruhan agensi MARA) bawah kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kata Yazid, keberadaan MARA bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) oleh kerajaan terdahulu dilihat hanya seolah-olah melahirkan persepsi bahawa MARA hanya bertanggungjawab ke atas pembangunan ekonomi bumiputera di sektor luar bandar sahaja.

Katanya, MTEM yakin langkah itu bukan sahaja dapat mengekalkan fungsi sebenar MARA malah ia dapat diurus tadbir dengan lebih telus dan mencapai sasaran melahirkan bumiputera berdaya saing.

MTEM mengaku menjadi payung organisasi yang mewakili lebih 50 NGO ekonomi Melayu di peringkat nasional dan 120 di peringkat negeri.

Lihat Komen