malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM janji bela nasib kakitangan awam 'didera' kerajaan BN
ADS

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membela kakitangan awam yang menjadi mangsa semasa berkhidmat di bawah pentadbiran terdahulu.

Menurut perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil tindakan bersesuaian selepas laporan mengenainya dikemukakan.

Kata Dr Mahathir antara langkah yang boleh diambil ialah mengembalikan mereka ke jawatan lama, atau membayar pampasan yang bersesuaian.

Namun perdana menteri turut mengingatkan, pada waktu ini kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan.

"Kita (kerajaan) berjanji akan membela mereka yang menjadi mangsa, tapi kita perlu dapatkan laporan terlebih dulu.

"Itu pun sudah kita lakukan," katanya semasa sesi taklimat bersama kakitangan perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Turut hadir pemimpin kanan kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail, anggota kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Berani kerana benar

Kata Dr Mahathir lagi jumlah yang menjadi mangsa pentadbiran sebelum ini terlalu banyak dan mungkin ada kes yang terlepas pandang.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan peserta pada sesi soal jawab.

Pegawai terbabit meminta kerajaan membantu kakitangan awam yang dikenakan tindakan disiplin hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan pemimpin politik terdahulu.

Katanya, ada antara kakitangan yang menyokong BN dikecualikan daripada tindakan disiplin.

Menurut Dr Mahathir beliau sendiri sebenarnya turut menjadi mangsa kepada kerajaan terdahulu dan "didera".

"Saya pun kena dera jugak... dipotong elaun... kawan-kawan tak boleh dekat sebab mereka takut," katanya.

Namun kata perdana menteri disebabkan beliau dan orang lain meyakini apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan bersama dan negara, ia tetap dihadapi.

"Akhirnya, alhamdulillah, kita berjaya.

"Jadi, anda semua perlu terima (kenyataan) bahawa kita kena dera sebab enggan patuh kepada benda-benda yang salah," katanya.

Lihat Komen