malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwa pegawai kanan Mat Sabu jika ada bukti
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 10:56 AM
Dikemaskini: 4:18 AM
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa pegawai kanan menteri pertahanan jika didapati individu terbabit disyaki melakukan kesalahan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata parti itu juga tidak akan membela individu berkenaan jika siasatan SPRM menemui bukti berlaku kecurangan.

Katanya AMANAH juga tidak akan mencampuri urusan SPRM atau mendesak supaya pendakwaan dihentikan.

AMANAH mengalu-alukan tindakan SPRM menyiasat pegawai kanan tersebut.

"Ini adalah bukti SPRM bebas daripada campur tangan politik dan ia menjadi keperluan untuk menjamin pentadbiran yang bersih daripada rasuah," kata Khalid yang juga menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedang disiasat ekoran dakwaan dia menerima wang kira-kira RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan hutang serta membebaskannya daripada status muflis.

Melalui laporan eksklusif itu Malaysiakini mendedahkan pegawai terbabit diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu dan kekal sehinggalah penghujung Mei lalu.

Siasatan awal mendapati beberapa bayaran dikatakan dimasukkan ke akaun jabatan itu oleh beberapa pihak.


Baca Pemuda AMANAH: Ahli disiasat SPRM perlu bercuti


“Didakwa bayaran itu dibuat bagi pihaknya hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan,” kata sumber.

Selain suspek, 10 lagi individu turut dirakamkan kenyataan masing-masing, termasuk beberapa kontraktor pertahanan dan wakil-wakil perniagaan.

Untuk rekod Mohamad ialah anggota parlimen Kota Raja dan presiden AMANAH.

Kata Khalid AMANAH komited untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih serta bebas daripada rasuah.

"Ini adalah komitmen parti ini kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Mohamad juga senada dengan kenyataan Khalid.

Kata Mohamad beliau mengalu-alukan sebarang siasatan SPRM ke atas sesiapa saja di Kementerian Pertahahan termasuk kalangan yang bertugas di pejabatnya.

Saya juga bersedia memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada SPRM. Bagi saya, tiada kompromi dalam soal integriti.

"Sekiranya terdapat apa-apa kes, SPRM bolehlah mendakwa individu yang terlibat mengikut saluran undang-undang sedia ada," katanya.

Lihat Komen