malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Utamakan agenda rakyat dari individu, kata Azmin
ADS

Menjelang pemilihan PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihati semua pihak agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan rakyat.

Azmin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR yang disandangnya mengajak semua pimpinan serta anggota parti meletakkan agenda negara di hadapan berbanding individu.

"Saya menasihati semua pihak tumpu pada kerangka besar Pakatan Harapan (HARAPAN). Rakyat telah beri sokongan yang sebelum ini tidak pernah terjadi seperti ini.

"Rakyat mahu kerajaan baru atas nama HARAPAN. Sebagai pemimpin kita tidak boleh khianati amanah yang diberi rakyat untuk lakukan perubahan.

"Maka saya mengajak semua pimpinan dan anggota supaya letak agenda besar ini mengatasi kepentingan individu, kelompok, peribadi dan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung konflik yang melanda PKR ketika ini apabila 'kem Rafizi Ramli' didakwa menyerang Azmin.

Terdahulu, Anggota Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Azmin berpakat bersama Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihak yang membuat dakwaan itu perlu diambil tindakan, Azmin berkata beliau menyerahkan kepada pihak jawatankuasa untuk membuat keputusan.

Namun, menurut Azmin, yang paling penting ketika ini bukan masalah disiplin sebaliknya isu kewibawaan seseorang untuk menjadi pemimpin.

"Saya percaya ini bukan masalah disiplin sahaja tetapi ini isu kewibawaan seseorang untuk laksana tanggungjawab sebagai pemimpin dalam mana-mana parti.

"Saya harap semua pihak dapat maju kehadapan untuk kukuhkan lagi HARAPAN dan laksanakan tanggungjawab kita sebagai pemimpin," katanya.

Lihat Komen