malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bestinet digantung operasi, k'jaan buat MOU dengan Nepal
ADS

Kerajaan telah menggantung operasi syarikat Bestinet Sdn Bhd berikutan dakwaan mengeksploitasi pekerja warga Nepal.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, kerajaan Nepal dan Malaysia akan menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) untuk mencapai penyelesaian berhubung isu tersebut.

"Kita akan hantar ke kabinet untuk kelulusan tertentu sebelum ke sana untuk lakukan apa yang patut.

"Memandangkan Nepal berminat hantar pekerja mereka, kita juga berminat untuk menerimanya, malangnya eksploitasi menyebabkan ia digantung," katanya pada sidang media jawatankuasa khas mengenai senario dan pengurusan pekerja asing di parlimen hari ini.

23 Julai lalu Bestinet yang terlibat dalam skandal pekerja warga Nepal, menafikan tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram atau mengaut keuntungan daripada memproses dokumen imigresen untuk pekerja asing.

Selain itu, syarikat teknologi maklumat itu turut menafikan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempunyai sebarang kaitan dengan Bestinet.

Kulasegaran menjelaskan, pihaknya akan menyerahkan MOU dalam menyelesaikan isu kemasukan pekerja Nepal tersebut.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir pada mesyuarat itu berkata, Malaysia akan mengadakan perjanjian antara kerajaan (government to government agreement) seperti dilakukan dengan Bangladesh.

"Pemberhentian (hantar pekerja Nepal) adalah dari kerajaan Nepal. Kita tak boleh menentang mereka. Tapi kita mahukan perjanjian bersama kerajaan seperti Bangladesh tetapi sistem akan sama," katanya.

Sejak 16 Mei, kerajaan Nepal telah menghalang rakyatnya daripada bekerja di Malaysia kerana kos yang tinggi yang dikaitkan dengan pelepasan keselamatan imigresen (RM105 setiap pekerja), pemeriksaan bio-perubatan (RM100), dan kertas kerja yang berkaitan dengan pusat sehenti yang dikendalikan oleh syarikat swasta Ultra Kirana Sdn Bhd.

Pada awal tahun 2015, Bestinet yang dikaitkan dengan Zahid pernah digantung oleh Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun Zahid menafikan pembabitannya dengan skim penipuan yang didakwa mengutip lebih RM185 juta daripada pekerja Nepal itu dalam tempoh lima tahun.

Lihat Komen